Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof berucap pada Majlis Apresiasi MED 2019 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2019

KUALA LUMPUR- Pengarah Urusan Bank Rakyat yang baharu akan diumumkan pada pertengahan bulan depan tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, calon-calon sedang dikenal pasti oleh headhunters yang diupah bagi mendapatkan individu terbaik dan berkelayakan untuk menerajui bank koperasi itu.

Redzuan bagaimanapun tidak menamakan agensi berkenaan mahu pun calon-calon yang telah dikenalpasti.

“Bank Rakyat mempunyai majlis eksekutif pengurusan bersama yang akan menjalankan operasi syarikat sementara menantikan pelantikan pengarah urusan yang baharu,” katanya semasa sidang media selepas menyampaikan Anugerah Pekerja Cemerlang Kementerian di sini hari ini.

Presiden dan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas akan menamatkan perkhidmatannya pada 2 April ini selepas memegang jawatan tersebut sejak 3 April 2017.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini syarikat yang berminat dalam projek kereta nasional ketiga, Redzuan menjawab, ada dua buah syarikat automobil asing yang telah disenaraipendek.

Tanpa mendedahkan jenama mahupun negara asal syarikat berkenaan, beliau berkata, kerajaan sedang dalam usaha untuk mengecilkan senarai kepada sebuah syarikat sahaja.

“Masih dalam perbincangan dan saya tidak mahu berspekulasi cuma secara khususnya kami sedang mengecilkan senarai kepada satu syarikat sahaja,” katanya lagi.

Beliau sekali lagi menegaskan, projek kereta nasional ketiga itu adalah pelaburan pihak swasta yang tidak melibatkan sebarang perbelanjaan daripada kerajaan.-MalaysiaGazette