Parlimen
Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd Nor bersalaman dengan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Cameron Highlands (BN), Ramli Mohd. Nor mencuri perhatian ramai apabila tampil di Dewan Rakyat dengan penampilan yang berbeza.

Beliau yang membawakan suara masyarakat Orang Asli setelah diangkat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasannya Januari lalu hari ini datang menggayakan perhiasan di kepalanya.

Pemakaian seperti itu biasanya dilihat pada upacara keramaian masyarakat Orang Asli dan hari ini Ramli mengenegahkan budaya masyarakatnya di Dewan Rakyat.

Ketika berbahas Ramli yang sememangnya berketurunan Orang Asli tidak dilihat janggal dan janjinya untuk membeli masyarakat tersebut jika dipilih sebagai ‘YB’ turut ditunai.

Beliau ketika membahskan usul menjunjung kasih titah Yang diPertuan Agong menggesa Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan memberikan peruntukan kewangan sebagai persediaan kepada anak-anak Orang Asli untuk mendaftar masuk ke universiti.

Perkara itu dibangkitkan olehnya ekoran terdapat rungutan daripada ibu bapa Orang Asli yang tidak mampu meyediakan kelekapan anak-anak mereka untuk masuk ke pusat pengajian tinggi.

Katanya, bantuan yang wajar untuk diberikan adalah dalam bentuk wang tunai sebelum mereka mendapat bantuan pembiayaan pendidikan atau biasiswa.

“Barisan Nasional (BN) sebelum ini memperuntukkan bantuan sebanyak RM3,000 setiap orang sebagai persediaan pelajar Orang Asli mendaftar ke universiti.

“Saya harap kerajaan sekarang dapat menyemak semula nilai bantuan ini supaya dapat membantu para pelajar Orang Asli di luar bandar,” katanya.

Ramli merupakan satu-satunya wakil rakyat dalam kalangan Orang Asli yang dipilih di Dewan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen pada PRK Cameron Highlands, 26 Januari lalu. – MalaysiaGazette