Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri didakwa tidak menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam berhubung projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, soalan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat berhubung isu itu ialah:

1) Perkembangan terbaru mengenai projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) setelah Kerajaan Malaysia berunding dengan China; dan

b) Perihalkan pengurangan skop kerja (downsizing) berbanding spesifikasi asal dan kos pembinaan selepas “downsizing” dan pampasan perlu dibayar kepada China dan kaedah pembayarannya jikalau projek ECRL ditangguhkan.

Soalan itu kemudian dijawab oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan jawapan:

1) Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, semua kerja dan perkhidmatan berkaitan projek ECRL masih digantung oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), iaitu syarikat di bawah milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan semenjak notis penggantungan dikeluarkan pada 3hb Julai 2018.

2). Manakala pada masa ini, Kerajaan masih dalam rundingan dengan kontraktor utama, China Communications Construction Company (CCCC) bagi mengurangkan kos pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Ianya bakal menentukan status pelaksanaan projek ini kelak.

Ka Siong berkata, jawapan yang diberikan tidak menjawab soalannya mengenai berapa jumlah pampasan yang diberikan kepada China sekiranya projek berkenaan ditangguhkan.

Jelasnya, jawapan kepada soalan ini amatlah penting untuk diketahui umum kerana ia melalui rizab negara dan melibatkan wang rakyat dan sudah tentu rakyat berhak untuk mengetahui perinciannya.

“Apabila mengetahui jumlah pampasan dan kaedah pembayaran yang dibuat, barulah kita dapat membuat penilaian sama ada keputusan kerajaan ini tepat atau sebaliknya dan ianya bukanlah kerana dendam politik,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.

Menurut Ka Siong, sudah enam bulan notis penggantungan dikeluarkan, lebih kurang lagi tiga bulan genaplah setahun.
Namun rundingan dengan CCCC masih tidak memberikan apa-apa yang jelas.

“Tiada keputusan muktamad diberikan sementara kontraktor sudahpun bersedia untuk memulakan kerja-kerja pembinaan termasuk membeli alatan kelengkapan mereka.

“Sekiranya projek ECRL dibatalkan, maka kerajaan perlulah mengemukakan cadangan baharu bagi membantu pembangunan di Pantai Timur,” ujarnya. – MalaysiaGazette