Parlimen
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Pusat zakat dan baitulmal digesa supaya menyelesaikan isu mahasiswa universiti awam yang terpaksa mengikat perut akibat kesempitan wang.

Beliau berkata, agensi pungutan itu perlu bergerak lebih aktif dengan memainkan peranan aktif kerana institusi-institusi itu bertanggungjawab dalam usaha membasmi kemiskinan.

“Mungkin kita boleh panggil baitulmal berperanan lebih aktif di universiti awam kerana jika sebut miskin, sinonimnya adalah zakat.

“Kita minta pusat zakat sama berfungsi seperti dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak terbabit kerana saya yakin zakat antara penyelesaian membantu membasmi kemiskinan.

“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan berterusan kepada mahasiswa dan kita galakkan zakat dan baitulmal menyumbang dalam isu ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Maszlee berkata, kedua-dua institusi berkenaan wajar melaksanakan inisiatif dilaksanakan pihak universiti, NGO dan persatuan mahasiswa yang menyediakan makanan percuma kepada pelajar miskin.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan beberapa pihak yang mahu kerajaan mengembalikan inisiatif pemberian makanan percuma khususnya mahasiswa miskin di universiti awam dalam usaha menyelesaikan isu pelajar terpaksa ikat perut.

Baru-baru ini, timbul isu apabila ada pelajar di Universiti Malaya (UM) terpaksa ikat perut ekoran kesempitan wang.

Perkara itu didakwa berpunca apabila UM memotong peruntukan sehingga RM1.3 juta bagi membiayai perkhidmatan bas kampus sejak beberapa bulan lalu dan itu antara sebab utama sebilangan pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) terpaksa bertindak demikian. – MalaysiaGazette