Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2019
Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengharapkan kewarasan akal fikiran rakyat Malaysia sebagai langkah menjaga keselamatan bersama rumah-rumah di negara ini.

Menurut beliau, perkara itu termasuk tidak mengambil tindakan untuk membalas dendam selepas sesuatu isu berlaku.

Malah, dalam hal tersebut beliau menegaskan, pihak berkuasa selalu mengawasi masjid-masjid dan kuil walaupun diketahui jumlah rumah-rumah ibadat terlalu banyak.

“Kita selalu mengawasi masjid-masjid tetapi kita tahu jumlah masjid banyak, kita tahu jumlah kuil juga banyak jadi kita bergantung kepada akal fikiran penduduk negara kita ini.

“Jangan ambil tindak balas kerana kalau kita bertindak balas, orang lain akan ambil tindak balas di lain tempat pula.

“Jadi, kita akan menghadapi masalah yang berpanjangan, sebab itu dari segi akal budi, jangan kita berbalas dendam, akan mengundang balas dendam di lain kali, “ katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bahawa aggota polis telah diarah memantau kuil dan gereja di negara ini.

Ia sebagai langkah susulan insiden serangan di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 umat Islam pada Jumaat lepas.

Mohamad Fuzi berkata, beliau telah mengeluarkan arahan serta-merta kepada semua ketua polis negeri dan ketua polis daerah berhubung langkah pemantau berkenaan. – MalaysiaGazette