TERKINI : Persidangan Agung Tergempar Polis Serah Memorandum IPCMC Kepada IGP

KUALA LUMPUR – Satu memorandum yang merangkumi isu isu berbangkit anggota dan pegawai polis mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau baru sahaja menerima memorandum itu daripada dua persatuan iaitu Persatuan Pegawai Kanan Polis diwakili presidennya Senior Asisten Komisioner Sulaiman Yahaya dan Persatuan Pangkat Rendah Polis menerusi Mesyuarat Agung Tergempar petang tadi.

“Sebenarnya permohonan mengadakan mesyuarat tergempar ini banyak kali dipohon oleh kedua dua persatuan ini.

“Saya dan barisan pucuk kepimpinan telah memberi ruang kepada mereka untuk mengadakan sesi membahas dan menyuarat perkara penting bagi PDRM berkaitan isu IPCMC.

“Jadi apa yang dibentangkan resolusi yang telah mereka buat kita akan panjangkan kepada pucuk kepimpinan kerajaan untuk pertimbangan sewajarnya dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tertutup dan penerimaan memorandum itu selesai sekitar 4.30 petang tadi.