GEORGETOWN- Atlet Muay Thai muda Pulau Pinang, Muhammad Aliff Mohd Azizi, tidak menyangka penyertaan pertamanya pada Kejohanan Muay Thai Dunia ke-16 di Bangkok, Thailand, menjadi detik manis buat dirinya apabila berjaya merangkul dua pingat emas.

Atlet berusia 15 tahun itu berkata penyertaan sulungnya pada kejohanan berkenaan pada mulanya hanya bertujuan untuk menimba pengalaman bersaing dalam kejohanan bertaraf dunia melibatkan peserta dari 60 negara, dan pencapaiannya itu sesuatu di luar dugaan.

“Memang tidak sangka, namun berbekalkan semangat dan dorongan daripada keluarga, jurulatih dan pihak terlibat akhirnya kami berjaya sampai ke tahap ini,” katanya kepada pemberita di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, kepulangannya bersama atlet Muay Thai Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Kedah di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, disambut Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Abu Bakar Yahya, Exco Belia dan Sukan negeri Soon Lip Chee serta wakil persatuan Muay Thai negeri-negeri tersebut.

Muhammad Aliff yang bersaing dalam kategori kadet 45-48 kilogram itu, berkata cabaran dihadapinya sepanjang kejohanan bermula dari 12 hingga 20 Mac itu adalah keadaan fizikalnya jauh lebih kecil berbanding atlet negara lain yang lebih besar dan tinggi.

“Namun, sokongan diberikan ayah, Mohd Azizi Bakar yang juga pegawai pengiring, jurulatih Azrol Mohammad dan rakan-rakan sepasukan akhirnya saya dapat mengekalkan fokus dan terus positif sehingga berjaya,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Ayer Tawar, Butterworth itu.

Abang kepada Muhammad Aliff, Muhammad Adam Mohd Azizi, 17, turut membawa pulang satu pingat perak dalam kategori remaja 54-57 kilogram.

Sementara itu, Soon berkata kerajaan negeri kini dalam perbincangan dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang untuk menempatkan pusat latihan Muay Thai di Titi Mukim (Butterworth) dalam masa terdekat.

“Dengan adanya fasiliti di pusat latihan yang lengkap ini, diharap dapat meningkatkan lagi semangat atlet Muay Thai untuk lebih fokus seterusnya mencipta kejayaan pada masa hadapan.