Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan bujang yang berpendapatan kecil sebanyak RM100 yang akan dibayar pada hujung bulan ini merupakan bayaran awal.

Bayaran selanjutkan akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Kabinet untuk membuat keputusan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, agihan kepada golongan bujang berdasarkan pangkalan data BSH 2019 akan dimanfaatkan kepada 3 juta penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH (PPBM) – Tanah Merah) yang bertanya soalan mengenai BSH untuk golongan bujang.

Guan Eng berkata, selain itu, sebanyak 1.2 juta pelajar IPTA dan IPTS menerima Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi sebanyak RM100 seorang.

Kerajaan juga komited dalam membantu meringankan beban kos sara hidup dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan memastikan kesaksamaan hak dan peluang seperti anggota masyarakat yang lain dalam semua aspek kehidupan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan pelbagai kemudahan dalam bentuk bantuan kepada golongan OKU seperti Elaun Pekerja Cacat, Elaun OKU Tidak Berupaya Bekerja dan Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar.

Tempoh pendaftaran/kemas kini BSH tahun 2019 telah dibuka mulai 1 Februari 2019 hingga 15 Mac 2019.

Sehingga 3 Mac 2019, lebih daripada 1.5 juta permohonan BSH 2019 telah diterima merangkumi 310,000 permohonan baharu dan 1.2 juta permohonan kemas kini.

Katanya, BSH 2019 dijangka memanfaatkan lebih daripada 4 juta isi rumah dan melibatkan peruntukan hampir RM5 bilion. – MalaysiaGazette