Matan Muhamad Isyraf Matan Ibrahim
Matan Muhamad Isyraf Matan Ibrahim dari Fakulti Sains Komputer Dan Teknologi Maklumat bercakap kepada media mengenai bantahan terhadap Pengeksploitasian Kumpulan B40 oleh Pihak Pentadbiran UM di Pekarangan Bangunan Canseleri, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) digesa menghentikan budaya berbelanja mewah termasuk menganjurkan majlis makan malam pelajar-pelajar kolej kediamannya di hotel bertaraf lima bintang.

Menurut seorang pelajar tahun ketiga dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Matan Muhamad Isyraf Matan Ibrahim, 23, budaya bermewah-mewahan itu hanya membebankan golongan pelajar.

“Saya tidak setuju pihak univeristi belanja mewah dengan pembaziran RM120 duit pelajar itu. Selalunya pihak universiti akan ambil hotel lima bintang.

“Pelajar tidak sepatutnnya diwajibkan membayar yuran RM120 itu kerana bukan semua pelajar mahu hadir. Lebih baik duit itu diguna untuk belanja makan kami seharian.

“Lebih baik dimansuh atau bukan satu kewajipan lagi, malah ketika majlis dibuat, pelajar sedang sibuk menyiapkan projek bagi subjek yang diambil, lebih-lebih lagi sebelum bulan puasa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pekarangan bangunan Canseleri UM, di sini, hari ini.

Matan Muhamad Isyraf berkata, pelajar tidak mahukan majlis besar-besaran, sebaliknya mereka mahu makanan yang mencukupi dan jumlah yuran yang dikenakan berpatutan.

“Kalau kita bandingkan RM120 dengan tempat mahal tapi makanan yang kita dapat sikit sangat, tak berbaloi, yang berbaloi satu saja, air.

“Tempat grand tapi makanan kuantitinya sikit sangat. Kami nak makanan, bukan grand,” katanya.

Muhammad Syafiq Noor Azman
Wakil Mahasiswa Islam UM, Muhammad Syafiq Noor Azman bercakap kepada media mengenai bantahan terhadap Pengeksploitasian Kumpulan B40 oleh Pihak Pentadbiran UM di Pekarangan Bangunan Canseleri, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 MAC 2019

Sementara itu, pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Awam, Muhammad Syafiq Noor Azman, 23, pula berkata, kebanyakan pelajar akan menghabiskan RM10 sehari untuk membeli makanan di universiti.

Katanya, jika yuran makan malam di hotel mewah itu dapat dimansuhkan, ia dapat menjimatkan perbelanjaan mereka di kolej dan tidak perlu lagi mencatu makanan.

“RM120 itu pun untuk belanja seminggu atau 2 minggu, sekurang-kurangnya kami tidak dipaksa bayar, kami tak nak pergi makan malam pun tapi masih kena bayar.

“Jumlah itu sangat bermakna bagi pelajar, walaupun RM50 pun kita sangat menghargainya kalau dapat. Sehari belanja makan dalam RM10 tak termasuk pengangkutan.

“Kalau tak ada duit, saya akan pinjam kawan atau kalau tiada pilihan memang kena ikat perut,” katanya.

MGF21032019_BANTAHAN SUARA SISWA17
Chuah Wen Jie dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan bercakap kepada media mengenai bantahan terhadap Pengeksploitasian Kumpulan B40 oleh Pihak Pentadbiran UM di Pekarangan Bangunan Canseleri, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 MAC 2019

Bagi pelajar tahun pertama Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Chuah Wen Jie, 20, yuran makan malam itu bukan sesuatu yang baharu malah ia telah diwajibkan sejak beberapa tahun lalu.

Sebaliknya kaedah pelaksanaan majlis makan malam itu dipertikaikan kerana mewajibkan setiap pelajar mengikutinya walaupun caj yang dikenakan agak tinggi bagi seorang pelajar.

“Bukan perkara baru, isu lama, yuran ini memang dipaksa, bukan pilihan. Saya rasa lebih baik RM120 ini dimansuhkan kerana dia beri pelajar satu pilihan.

“Fakulti saya sendiri pun buat makan malam tapi dia tak paksa, siapa nak pergi kena bayar, jawatankuasa akan pertimbangkan untuk menarik ramai menghadiri.

“Mereka turunkan harga dan lebih pentingkan belanja tempat yang sesuai, lebih baik beri pelajar pilihan,” katanya. – MalaysiaGazette