KUALA LUMPUR – Kehilangan Mohd Haziq Mohd Tarmizi selepas insiden serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu terjawab apabila beliau disahkan meninggal dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, berita penemuan mayat remaja berusia 17 tahun itu telah diterima oleh Wisma Putra.
“Dukacita dimaklumkan Mohd Haziq yang hilang sejak Jumaat lepas telah ditemui,” katanya.
Difahamkan hari ini keluarga Allahyarham akan melakukan pengecaman mayat di Hospital Christchurch.
Menurut beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan ke sana (New Zealand), esok.
“Beliau akan mewakili Kerajaan Malaysia untuk urusan solat jenazah dan khutbah Jumaat di Christchurch,” katanya di sini, malam ini.
Haziq adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang parah dalam serangan itu, kini dirawat di sebuah hospital di negara itu. .- MalaysiaGazette