Kaki Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi,

JOHOR BAHRU – Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan kematian pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, pada 26 April 2017, adalah disebabkan komplikasi berkait kencing tikus.

Hakim Jailani Abd Rahman yang bersidang sebagai koroner pada keputusan inkues kematian Mohamad Thaqif Amin turut memutuskan tiada sesiapa bertanggungan secara jenayah terhadap kematian pelajar tersebut.

Jailani membuat keputusan itu selepas menimbang keterangan 18 saksi dan 63 eksibit yang dikemukakan sepanjang inkues berlangsung mulai 10 April tahun lepas sehingga 29 Jan lepas.

Dalam alasan penghakimannya di hadapan Pengarah Pendakwaan negeri Johor, Roslan Mat Nor dan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi’uddin, Jailani berkata mahkamah memutuskan keputusan berdasarkan keterangan saksi inkues ke-11, iaitu Pakar Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Mohamad Aznool Haidy Ahsorori.

“Saya telah meneliti semua keterangan yang diketengahkan di hadapan saya dan saya berpuas hati bahawa kematian Mohamad Thaqif Amin adalah disebabkan oleh Acute Infectious Purpura Fulminans complicating Leptospirosis iaitu penyakit komplikasi berkait dengan kencing tikus.

“Dan tiada sesiapa bertanggungan secara jenayah, sama ada dengan perbuatan atau peninggalan terhadap kematian beliau (Mohd Thaqif Amin). Verdict (keputusan) saya adalah seperti berikut, kematiannya adalah sebagai nahas atau misadventure,” kata Jailani ketika membacakan alasan penghakiman berkenaan pada prosiding keputusan inkues terhadap kematian pelajar tersebut.

Jailani berkata mahkamah berpendapat dan berpandangan keterangan Dr Mohamad Aznool adalah wajar.

Tambahan pula, keterangan melalui saksi lain iaitu ibu, bapa dan bapa saudara Mohamad Thaqif Amin mengatakan pelajar tersebut ada pergi ke sebuah kolam mandi di Jalan Mawai di Kota Tinggi, bersama beberapa sepupunya, namun, kesemua saksi gagal mengenal pasti tarikh sebenar ke kolam itu sama ada pada 22 atau 23 Mac 2017.

Mengenai adakah sesiapa bertanggungjawab secara jenayah berkenaan kematian Mohamad Thaqif Amin, beliau berkata mahkamah sudah meneliti kematiannya bukan disebabkan oleh sesiapa tetapi disebabkan oleh komplikasi penyakit yang dihadapi.

“Bukan sahaja Mohamad Thaqif Amin dikenakan hukuman (di madrasah) tetapi juga pelajar lain. Hukuman itu di tapak kaki dan tiada keterangan yang menunjukkan terdapat kesan-kesan lain di bahagian badan dan anggota lain.

“Ibunya juga menyatakan ketika mendaftar keluar anaknya (Mohamad Thaqif Amin), dia tidak nampak apa-apa kesan pukulan lebam pada bahagian kaki. Mahkamah juga sudah mengenal pasti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan di mahkamah dan mendapati hukuman dilihat minima (minimum) dan tidak fatal apatah lagi menyebabkan kematian,” katanya.

Mohamad Thaqif Amin dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), pada 19 April 2017 selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai akibat dipukul pembantu warden madrasah tahfiz.

Selepas kedua-dua kakinya dipotong pada 22 April 2017, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadual dipotong dari jari hingga bawah siku.

Bagaimanapun, pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil sebelum dia meninggal dunia pada 2.05 petang, 26 April 2017, selepas lapan hari dirawat.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN: