Muhammad Haziq
Muhammad Haziq bersama ayahnya, Mohd Tarmizi Shuib.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar yang mengesahkan kematian remaja yang hilang, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, dalam serangan masjid di Christchurch meminta pihak media memahami dan menghormati keluarga mangsa semasa menghadapi keadaan yang sukar ini.

Menurut kenyataan kementerian itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan memberi bantuan proses pengkebumian kepada keluarga itu.

“Kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq bin Mohd Tarmizi,” kata kenyataan itu.

Muhammad Haziq yang berusia 17 tahun adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang parah dalam serangan itu, kini dirawat di sebuah hospital di negara tersebut.

Dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch Jumaat lalu yang meragut 50 orang nyawa itu, Muhammad Haziq dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, semalam Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Pohdalam hantarannya di media sosial menyatakan remaja itu telah meninggal dunia.

Menurut kenyatan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa akan terbang ke Christchurch bagi mewakili kerajaan dalam memberi sokongan kepada warga Malaysia yang terkesan daripada kejadian tersebut. – MalaysiaGazedtte

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/21/hilang-selepas-insiden-serangan-masjid-mohd-haziq-disahkan-meninggal/