Parlimen
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan tidak pernah melaksanakan dasar yang mendiskriminasikan mana-mana bahasa ibunda dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, pelan PPPM2013-2025 digubal dengan melakarkan visi sistem pendidikan dan aspirasi murid selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

“Berkenaan aspek bahasa, keperluan penguasaan Bahasa Melayu untuk memupuk perpaduan dan identiti warga Malaysia, penggunaan Bahasa Inggeris untuk membentuk individu yang bersedia bersaing di peringkat antarabangsa.

“Manakala bahasa Cina dan bahasa Tamil masih dikekalkan sebagai mata pelajaran teras di sekolah jenis kebangsaan seluruh negara.

“Mata pelajaran bahasa Cina sekolah kebangsaan dan bahasa Tamil sekolah kebangsaan juga diajar di sekolah kebangsaan sebagai mata pelajaran tambahan untuk murid bersama-sama dengan mata pelajaran lain seperti bahasa Iban dan Kadazan Dusun,” katanya semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa memastikan mata pelajaran bahasa ibunda sentiasa dikemaskimi dalam aspek kurikulum, bahan bantu belajar serta kaedah pembelajaran dan pengajaran serta melaksanakan di sekolah agar pembelajaran bahasa ibunda dilaksanakan dengan penuh berkesan dan berkualiti.

“Pengukuhan pembelajaran dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah berdasarkan keperluan murid mengikut tahap penguasaan bahasa masing-masing.

“Untuk menjayakan pelaksanaan mata pelajaran (ibunda) ini, KPM telah menyediakan sukatan atau standard kurikulum mata pelajaran bahasa ibunda tersebut.

“Bahan sokongan juga disediakan dan diedarkan di sekolah berkenaan untuk digunapakai dalam perlaksanaan kurikulum bahasa bahasa tersebut,” ujarnya.

Jelas beliau, pelaksanaan bahasa ibunda tersebut adalah selari dengan saranan PPPM2013-2025 agar murid yang menamatkan persekolahan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa bagi membolehkan mereka berkomunikasi secara berkesan dan mampu bersaing di peringkat global.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama ada sijil UEC telah diiktiraf atau tidak, Maszlee berkata, setakat ini KPM telah menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji dasar berkaitan UEC.

“Hari ini akan ada satu sesi sidang media memperkenalkan ahli jawatankuasa tersebut dan mereka akan interaksi dengan media untuk membentangkan sebahagian aktiviti yang telah mereka laksanakan.

“Mereka masih dalam proses libat urus menganjurkan aktiviti dan berkomunikasi dengan semua pihak maka belum ada keputusan lagi yang dibuat (soal UEC), maka sebarang keputusan hanya diputuskan di kabinet. – MalaysiaGazette