Datuk Seri Najib Razak.
Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak tiga daripada empat rayuan yang dikemukakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara-perkara interlokutori dalam pertuduhan jenayah yang dihadapinya melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan mencapai keputusan sebulat suara.

Bagi ketiga-tiga rayuan yang ditolak itu, mahkamah memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak ada membuat apa-apa kesilapan yang boleh dirayu, yang mewajarkan campurtangan Mahkamah Rayuan.

Rayuan-rayuan itu termasuk permohonan Najib untuk mendapatkan perintah menghalang media dan orang awam daripada membincangkan merit kes jenayah yang dipertuduhkan terhadapnya.

Dua lagi rayuan ialah mengenai akses kepada dokumen-dokumen siasatan termasuk keterangan-keterangan saksi pada peringkat praperbicaraan dan terhadap tindakan Peguam Negara Tommy Thomas hendak menarik balik sijil pemindahan tujuh pertuduhan yang dihadapi Najib berhubung dana SRC International, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, mahkamah membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan salinan surat lantikan yang memberi kuasa kepada peguam Datuk Sulaiman Abdullah untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap bekas perdana menteir itu dalam kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Hakim Rhodzariah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan pihak pendakwaan menyerahkan salinan surat lantikan itu kepada Najib.

Anggota Parlimen Pekan berusia 66 itu menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan beliau berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Dia juga menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

— BERNAMA