Mujahid Yusof
Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Semua masjid di negara ini disaran mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi selepas solat Jumaat esok.

Mohd Haziq, 17, merupakan salah seorang daripada 50 orang yang terkorban dalam serangan pengganas ke atas dua buah masjid di Christchurch, New Zealand ketika menunaikan solat Jumaat pada minggu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang akan mewakili kerajaan Malaysia ke Christchurch akan bertemu keluarga Allahyarham Mohd Haziq sejurus tiba di Christchurch esok.

Menurut satu kenyataan, selepas itu, Mujahid akan menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah di salah sebuah masjid yang telah diserang serta menyampaikan khutbah Jumaat.

“Sehubungan itu, dengan berita yang amat mendukacitakan ini,YB Menteri memohon agar semua masjid di seluruh Malaysia dapat mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Mohd Haziq selepas solat Jumaat esok.

“Semoga Allah mencucuri roh Allahyarham Mohd Haziq dan semoga beliau ditempatkan bersama orang yang soleh,” kata kenyataan itu sambil menambah Mujahid dijangka bertolak pada jam 3.30 petang ini.

Pada pagi tadi, Kementerian Luar mengesahkan kematian remaja yang hilang dalam serangan masjid di Christchurch itu dan meminta pihak media memahami dan menghormati keluarga mangsa semasa menghadapi keadaan yang sukar ini.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan memberi bantuan proses pengkebumian kepada keluarga itu.

Menurut kenyataan itu, seluruh keluarga Allahyarham Mohd Haziq telah berada di Christchurch memandangkan bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, turut menjadi salah seorang mangsa. – MalaysiaGazette