Nasrul Ali Hasan
Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan kenyataan Tun Daim Zainuddin kononnya Melayu berfikiran secara emosi sebagai tidak masuk akal.

Bahkan, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu dikatakan mempunyai agenda tersirat bagi meraih populariti dalam kalangan orang dagang di bumi Melayu ini.

Ketua Penerangan Perkasa Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, kenyataan itu juga bersifat memecahbelah Melayu kerana kerakusan untuk mendapatkan perhatian bangsa lain.

Setakat ini, katanya, di mana pemikiran secara beremosi yang dikatakan itu dan kecenderungan berfikir secara itu tidak boleh dirujuk terus pada sesuatu kaum.

“Jika hendak dibandingkan, orang Cina dan India juga beremosi apabila berfikir. Kedua, kaum ini pantang ada silap sikit melenting macam cacing kepanasan, sementara orang Melayu kerana tidak beremosilah kedudukan mereka dipijak bangsa lain.

“Kita ambil contoh kes kuil di Seafield dan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, siapakah yang beremosi apabila tekanan berlaku terhadap bangsa mereka?

“Kaum India berhimpun dan bertindak ganas memecah dan membakar kenderaan orang awam, memukul dan mencederakan penjawat awam tanpa belas ihsan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Daim dalam ucapannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor malam tadi membangkitkan perkara itu dan berkata, tanggapan bahawa kedudukan Melayu kini terancam tidak lebih sekadar retorik politik mengarut.

“Walaupun lebih berpendidikan dan dengan golongan berpendidikan yang besar, kita masih tidak mampu meyakinkan diri kita tiada apa yang perlu ditakutkan orang Melayu di negara ini,” kata Daim seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Menurut Nasrul Ali Hasan, kaum Cina juga sama dalam kes Teoh Beng Hock, yang mengadakan demonstrasi jalanan walaupun telah melalui inkues dan diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Dalam kes itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diarah membayar ganti rugi atas kematian pegawai khas kepada wakil rakyat DAP itu.

Begitu juga katanya, yang melakukan penghinaa terhadap orang Islam dan Nabi Muhammad oleh orang Cina dan India seperti hilang kewarasan dalam  melemparkan kata-kata.

“Tapi orang Melayu Islam walau dikeji, mereka sekadar mengadakan himpunan, berucap dan membacakan doa bagi menyampaikan rasa tidak puas hati sebelum beredar dengan aman.

“Apakah maksudnya dengan Melayu tidak berfikiran strategik, logik dan kritikal? Adakah Daim cuba menampakkan dirinya sahaja yang paling bijak walhal orang Melayu seperti tidak berotak?

Oleh itu, jika orang Melayu mempertahankan hak dan menegakkan syiar Islam, ia bukan retorik bagi mendapatkan simpati umum.

Sebaliknya, itulah hakikat dan asas yang perlu mereka pertahankan kerana mendaulatkan perkara yang telah lama termaktub dalam perlembagaan.

“Ini adalah fakta dan logik yang sepatutnya Tun Daim yang lama dalam dunia politik patut hadam.

“Tetapi, apabila beliau kaitkan itu sebagai retorik politik, itu sudah tidak betul dan menampakkan beliau sendiri tidak cukup logik dalam berfikir.

“Kejayaan Daim hari ini adalah kerana menjadi Menteri Kewangan zaman UMNO/BN memerintah dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat yang memerintah selama 22 tahun ketika itu,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan siapa yang gagal, adakah Daim dan Dr. Mahathir tidak pernah gagal, sedangkan hasilnya beliau menjadi kaya raya.

Katanya, jangan kerana kekayaan dan kemewahan dimiliki menjadi penghalal emosi sehingga tidak nampak ancaman terhadap bangsa sendiri. – MalaysiaGazette