Jacinda Arden.

WELLINGTON- Senapang semi automatik diharamkan penjualannya di New Zealand ekoran serangan masjid di Christchurch baru-baru ini.

Ia ekoran satu undang-undang baharu di negara itu menurut laporan DailyMail hari ini.

“Setiap senjata semi automatik yang digunakan dalam serangan pengganas pada Jumaat lepas akan diharamkan di negara ini,” kata Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden.

Kerajaan juga, katanya, akan memberhentikan jualan senjata itu serta merta sehingga undang-undang baharu mengenainya diputuskan.

Kerajaan juga akan membeli semula senjata berkenaan daripada pemilik sedia ada melalui satu program yang dijangka melibatkan kos kira-kira USD200 juta.

Ardern menegaskan, negaranya ‘belajar’ daripada peraturan mengenai penjualan senjata api di Australia pada tahun 1996.

Beberapa hari lepas, Perdana Menteri New Zealand telah mengumumkan akan membuat peraturan lebih keras ekoran insiden yang sama.

Sementara itu, menjelang solat Jumaat esok, satu sesi bertafakur selama dua minit akan diadakan bagi memperingati mangsa kejadian tragis itu.

Laungan azan juga akan disiarkan menerusi televisyen dan radio di seluruh negara.

Ia, menurut Ardern, satu tanda sokongan kepada umat Islam untuk kembali ke masjid semula.

Sejak kejadian 50 mangsa mati ditembak oleh pengganas itu, kedua-dua masjid terlibat iaitu Masjid Al Nur dan Linwood dikunjungi ramai termasuk bukan Islam.

Kehadiran mereka bukan sahaja bagi ‘mengawal’ masjid tetapi ada juga sesetengah masuk ke dalam melihat umat Islam menunaikan solat.- MalaysiaGazette