Eddin Khoo Bu Eng
Eddin Khoo

KUALA LUMPUR – Dalam tempoh enam bulan, Pasukan Petugas Dasar Unified Examination Certificate (PPDUEC) sudah bertemu dengan 46 pihak untuk mendapatkan pandangan mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Pengerusi PPDUEC, Eddin Khoo Bu Eng memberitahu, beliau bersama dua ahli pasukan itu berjumpa dan mengadakan sesi temu bual dengan pihak terlibat seperti tokoh pendidikan, pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelas beliau, pasukan itu juga membuat penelitian dokumen seperti artikel dan penulisan daripada pelbagai media termasuk media sosial yang menulis berkaitan UEC.

“Kita juga telah melakukan lawatan kerja merangkumi temu bual dengan kumpulan fokus, dengan pihak berkepentingan mengikut zon termasuk lawatan kerja ke Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan UEC.

“Selepas ini kita akan ke Sabah dan Sarawak untuk bertemu dengan kumpulan ibu bapa, anak muda dan pihak pemegang taruh,” katanya pada sidang media Menteri Pendidikan bersama PPDUEC di Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Mengenai parti politik yang sudah mengadakan sesi temubual, Bu Eng berkata, pasukan itu telah bertemu dengan pemimpin UMNO dan Pas selain parti politik lain.

Jelas beliau, dalam sesi pertemuan dengan Tan Sri Annuar Musa, misalnya, Setiausaha Agung UMNO bersetuju untuk melihat UEC sebagai isu nasional.

“Perlu dijelaskan bahawa pasukan ini hanya pengantara antara Kementerian Pendidikan dengan pemegang taruh.

“Tugas kita ialah mendapatkan hasil secara menyeluruh, tanpa berpihak kepada mana-mana pihak sebelum kita kemukakan kepada kementerian Julai ini.

“Sebelum itu, pada Mei dan Jun ini kita akan merumuskan sekali lagi hasil dapatan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya mengambil setiap pendapat daripada pemegang taruh dengan serius dan tidak mahu mereka menaruh rasa curiga dengan peranan dan kewibawaan pasukan itu.

“Kita tak mahu orang lain mencurigai kita dan pada masa sama kita tidak akan mencurigakan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette