Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sambil diiringi Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Berhad, Datuk Hasnul Fadhly Hasan (kanan), Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Rostam Affendi dan Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Dr. Rozhan Othman (dua kanan) bergambar kenangan pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Antara MyIPO dan MYNIC serta Pelancaran Pakej MYMARK di Menara UOA, Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Tidak perlu mempersoalkan langkah kerajaan mengagihkan RM3 juta untuk program Food Bank Malaysia kepada 20 universiti awam sedangkan ia digunakan untuk menyediakan bantuan logistik kepada para penyumbang makanan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Ismail berkata, dana tersebut tidak melibatkan sebarang pembelian makanan sama ada siap masak atau bahan mentah.

“Program Food Bank ini tiada implikasi kewangan, tak payah keluar modal pun. Dana RM3 juta itu adalah bantuan logistik, kita buat program Food Bank ini dari Perlis sampai ke Sabah.

“Kalau RM3 juta nak diagihkan kepada 20 universiti, berapa hari boleh tahan.

“Keperluan paling utama adalah logistik iaitu sebuah kenderaan yang lengkap dengan chiller dari suatu lokasi ke satu lokasi, mengambil bahan-bahan yang disumbangkan oleh hotel, pasar raya dan kilang-kilang.

“Jadi, kita perlukan lori bergerak. Apabila barang-barang yang disumbangkan ini telah dikumpulkan, dipunggah, dikutip oleh lori, akan diagihkan di satu pusat pengumpulan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan MYNIC Berhad, di Akademi Harta Intelek MyIPO hari ini.

Beliau mengulas desakan Timbalan Naib Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM), Muhammad Haziq Azfar baru-baru ini agar peruntukan RM3 juta untuk program Food Bank Malaysia itu lebih baik diagihkan kepada persatuan-persatuan pelajar.

Perkara itu selepas sebuah media tempatan melaporkan sebilangan pelajar di Universiti Malaya (UM) terpaksa ‘mengikat perut’ dengan makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung kepada sebuku roti bagi menahan lapar akibat kekangan kewangan.

Pelajar terbabit dipercayai datang daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian mereka di universiti awam itu.

Saifuddin juga berkata, kos logistik untuk mengambil barang yang disumbangkan pelbagai pihak akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kementerian.

“Bila kami datangkan program Food Bank ke universiti, lori itu akan disiapkan oleh KPDNHEP, lori perlukan kos paling minimum minyak dan pemandu.

“Yang itu pun kementerian akan uruskan. Di mana mahasiswa perlukan perbelanjaan? Semua (makanan) telah didatangkan, itu kalau kita datangkan dalam bentuk bahan mentah,” katanya.

Katanya lagi, kekuatan program Food Bank Malaysia itu bersandarkan kepada 430 pasar raya di seluruh negara dan sebanyak 87 hotel di Pulau Pinang yang sedia memberi sumbangan.

“Fungsi mereka menyumbang bahan-bahan, jadi mahasiswa tak payah keluarkan duit, mereka cuma perlu kumpulkan tenaga mereka untuk jadi sukarelawan.

“Bila kenderaan kita sampai ke kampus, kalau mereka boleh tolong angkat itu ke pantry, kalau perlu masak mereka hanya perlu kumpul dan tolong masak, akhirnya mereka bantu kawan-kawan juga.

“Tak timbul RM3 juta nak diagih saya fikir ada sedikit salah faham di situ. Ia bertujuan membantu menyediakan keperluan logistik projek Food Bank yang berjalan seluruh Malaysia bukan hanya di kampus sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pelajar UM desak mansuh yuran makan malam di hotel mewah

1 Komen

Tinggalkan Jawapan