Rayer
RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) diserahkan kepada Tan Sri Tony Fernandes bagi mengembalikan era kegemilangan syarikat penerbangan itu.

R.S.N Rayer berpendapat tokoh korporat seperti Tony mampu melonjakkan syarikat itu.

“Berilah kepada Air Asia, kenapa tidak suruh Tony Fernandes untuk mengambilalih Malaysia Airlines dan mengendalikan operasinya,’ katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya apakah idea untuk mengabung Malaysia Airlines dengan AirAsia mampu membawa keuntungan sekaligus menyelamatkan syarikat penerbangan itu, Ahli Parlimen Jelutong itu tidak setuju dengan idea itu dan menganggap ia tidak relevan.

Katanya sekiranya Tony diberi peluang menerajui Malaysia Airlines secara tidak langsung, kerajaan mungkin boleh melihat hasil dalam masa enam bulan.

“Kaau tanya saya, sudah pasti mereka semua akan debat tanpa henti mengenai Malaysia Airlines yang kini diteliti kerajaan menggunakan pelbagai pilihan untuk menyelamatkan syarikat itu.

“Jika membandingkan kedua dua syarikat penerbangan itu, Air Asia sebuah syarikat penerbangan tambang murah swasta yang masih baru berusia mungkin 10 tahun dan menghasilkan keuntungan.

“Malaysia Airlines jauh berbeza dengan AirAsia, jadi biar Tony ambil alih dan menguruskan pengurusannya.

“Saya akan sokong dalam perkara ini kerana saya tidak berapa pasti mengenai dasar penggabungan dua syarikat itu sebab itu topik berbeza dan juga tak tahu sama ada dia (AirAsia) berminat untuk ambil alih liabiliti syarikat lain (Malaysia Airlines) jadi bergabung itu topik berbeza tetapi penstrukturan semula diperlukan,” ujarnya.

Khazanah Nasional Berhad yang memiliki syarikat penerbangan itu memperuntuka  dana sebanyak RM6 bilion untuk menstruktur semula syarikat itu yang menghadapi kerugian besar sebelum ini.

Malaysia Airlines mendapat tumpuan umum apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan terdapat pihak yang berminat mengambilalih syarikat itu. – MalaysiaGazette