Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bercakap pada sidang media bersama Pasukan Petugas Dasar UEC di Bahgaian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 21 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan dijangka menerima semua hasil atau rumusan yang dikumpul Pasukan Petugas Dasar Unified Examination Certificate (PPDUEC) pada Julai ini.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, beliau akan menerima rumusan itu dan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan keputusan sama ada kerajaan mengiktiraf atau sebaliknya Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Katanya, setakat ini pasukan yang melibatkan tiga ahli panel itu sedang giat mengumpulkan segala pandangan, pendapat, nasihat, kritikan dan cadangan dari pemegang taruh yang pelbagai latar belakang.

“Saya dimaklumkan, sehingga hari ini PPDUEC ini sudah bertemu dengan 46 pemegang taruh yang terdiri daripada ibu bapa, pelajar, penuntut universiti, pemimpin politik dari semua parti.

“Setiap pandangan, cadangan, kritikan, nasihat dan teguran itu diambil serius oleh pasukan ini.

“Mereka akan kumpul dan buat rumusan sebelum diserahkan kepada saya pada Julai ini untuk saya angkat ke Kabinet,” katanya pada sidang media di bersama Pasukan Petugas Dasar UEC di Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan di sini, hari ini.

Menurut Dr. Maszlee, berikutan banyak spekulasi mengenai UEC sebelum ini, kementeriannya membuat keputusan menubuhkan PPDUEC pada 28 September lalu.

Jelas beliau, pasukan itu dianggota tiga panel dari luar kementerian iaitu individu yang terlibat dengan sistem UEC dan mereka yang berada di luar sistem.

Tiga anggota panel itu ialah penulis dan juga wartawan, Eddin Khoo Bu Eng; Peguam yang juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim; dan Timbalan Presiden Dong Zong yang juga Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing.

Menurut beliau, tugas pasukan itu ialah untuk mengumpul maklumat dan mengemukakan syor kepada kementeriannya berhubung isu pengiktirafan UEC.

“Hasil dapatan daripada maklum balas mengenai pengiktirafan UEC ini akan dirumuskan dan syor berkenaan akan dirangka serta diangkat kepada saya untuk dipertimbangkan serta dikemukakan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Ditanya fungsi pasukan itu, katanya, ia menjalankan tugasan mengkaji dan mencadangkan hala tuju dasar berhubung UEC untuk dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette