Enam individu sambil memegang kertas 'Mana RM2.6 bilion' didakwa mencetuskan provokasi semasa sembang santai Najib Razak. foto FB Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak kesal dengan pergaduhan kecil yang tercetus berhampiran Universiti Malaya ketika beliau sedang bersembang santai.

Enam individu didakwa melakukan provokasi terancang dengan memegang kertas yang ditulis “Mana RM2.6b”

Bekas perdana menteri itu berkata, perkara seperti ini tidak patut berlaku oleh mana-mana pihak dan laporan polis telah dibuat oleh pihak penganjur sesi sembang santai tersebut.

“Bahaya sangat ke, saya berucap? Saya berselfie, PH lapor polis. Saya mahu bersolat di Masjid, PH lapor polis,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Bagaimanpun, bagi menjawab soalan enam individu itu Najib memberitahu bahawa pada bulan September lalu,  beliau pernah mencabar Lim Kit Siang beberapa kali untuk mengakui bahawa Penasihat DAP itu tahu kebanyakan wang RM2.6 bilion itu sudah dikembalikan selepas tiga bulan menerimanya.

Namun, katanya Kit Siang memilih untuk tidak menjawab.

Masa itu beliau juga memuatnaik dokumen-dokumen dari bank yang menunjukkan wang RM2.6 bilion ini telah dikembalikan kepada sumber sama yang menghantarnya, yakni “return to sender”.

Najib bertanya sampai bila agaknya Kit Siang dan pemimpin Pakatan Harapan akan mengaku bahawa beliau tidak merompak, menyamun, mencuri dan menyimpan wang sejumlah RM2.6 bilion untuk membeli cincin dan beg tangan.

Menurutnya, pada bulan Ogos lalu, beliau didakwa dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram mengenai dana yang disebut RM2.6b ini di bawah akta AMLATFA serta 4 pertuduhan di bawah Akta SPRM yang merupakan “predicate offence” (komponen kesalahan serius).

Di bawah akta AMLAFTA ini, setiap pergerakan wang samada penerimaan, pembayaran atau pindahan dikira sebagai satu tuduhan.

“Saya didakwa menerima dana itu.

“Saya juga didakwa 6 kali kerana telah memulangkan dana kepada penghantar (yakni return to sender) serta dua pertuduhan kerana memindah wang dari satu akaun saya kepada akaun saya yang lain.

“Ini semua kertas dakwaan rasmi. Takkan palsu juga?,” tegasnya.

Beliau turut berkongsi postingnya yang bagi menjawab tuduhan mengenai RM2.6 bilion itu.
(https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10155586360370952)

Najib menegaskan, politik berasaskan kebencian dan serangan peribadi hanya laku jika PH masih pembangkang tetapi sekarang mereka sudah menjadi kerajaan. – MalaysiaGazette