Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengubah kedudukannya daripada kerugian awal untuk ditutup tinggi hari ini, berikutan pemburu harga rendah kembali memasuki pasaran pada saat-saat akhir untuk membeli saham bernilai, khususnya saham mewah popular.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, dengan mengambil kira pasaran kembali tinggi pada pagi Khamis selepas mencatatkan kejatuhan pada Rabu, ia sebenarnya telah meningkatkan minat pelabur untuk mengambil risiko.

“ā€¯Mereka bersedia untuk membeli, tetapi pasaran tiba-tiba terjejas dan menyaksikan penyusutan ketara sebanyak 20.55 mata semasa ditutup semalam, mendorong mereka untuk kekal tidak memasuki pasaran selepas itu, kerana mereka tidak pasti dengan keadaan pasaran saham,” katanya kepada Bernama.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.0 mata atau 0.18 peratus kepada 1,666.66 daripada 1,663.66 semasa ditutup pada Khamis.

Selepas dibuka 5.92 mata lebih kukuh pada 1,669.58, pasaran bergerak antara 1,657.01 dan 1,673.45 sepanjang hari.

Mengulas prestasi hari ini, seorang lagi peniaga berkata berikutan kerugian tiga hari berturut-turut sejak Selasa, pemburu harga rendah kembali memasuki pasaran untuk membeli saham mewah yang harganya turun, khususnya saham berkaitan telekomunikasi.

“Kami melihat harga kesemua tiga saham wajaran tinggi berkaitan telekomunikasi iaitu Maxis, Axiata dan Digi, menduduki senarai kalangan 10 saham teratas yang mencatatkan kenaikan tertinggi dari segi peratusan,” katanya.

Semasa ditutup, Maxis naik 23 sen atau 4.31 peratus kepada RM5.56, Axiata menokok enam sen, atau 1.42 peratus kepada RM4.27 dan Digi meningkat empat sen atau 0.86 peratus kepada RM4.65.

Bagaimanapun, saham-saham perbankan yang terjejas oleh aktiviti jualan semalam gagal untuk bingkas semula dengan Maybank susut 11 sen kepada RM9.29 manakala Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM26.86 dan RM5.33.

Antara saham paling aktif, Berjaya Corp tidak berubah pada 26.5 sen, Hibiscus naik empat sen kepada RM1.10, MyEG melonjak sembilan sen kepada RM1.39, dan Orion meningkat 1.5 sen kepada 21.5 sen, tetapi Dynaciate turun setengah sen kepada 9.5 sen.

Carlsberg merupakan saham yang mencatatkan keuntungan tertinggi apabila meningkat 90 sen kepada RM26.50 manakala Ayer merupakan saham mengalami kerugian tertinggi hari ini, turun 29 sen kepada RM4.31.

Kedudukan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 470 berbanding 377, manakala 394 kaunter tidak berubah, 671 tidak diniagakan dan 42 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.75 bilion unit bernilai RM2.13 bilion berbanding 2.96 bilion unit bernilai RM2.15 bilion pada Khamis.

Indeks FBM Emas naik 28.66 mata kepada 11,683.17, FBMT 100 meningkat 29.07 mata kepada 11,537.19, Indeks FBM Emas Syariah menambah 45.34 mata pada 11,755.15, Indeks FBM Ace naik 35.46 mata kepada 4,814.79 dan FBM 70 melonjak 69.71 mata kepada 14,252.55.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.29 mata kepada 169.01, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 44.74 mata kepada 17,174.77 dan Indeks Perladangan berkurangan 15.89 mata kepada 7,192.85.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.75 bilion saham bernilai RM2.13 bilion berbanding 2.11 bilion saham bernilai RM1.95 bilion pada Khamis.

Waran susut kepada 508.99 juta unit bernilai RM97.46 juta berbanding 584.81 juta unit bernilai RM127.72 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 362.32 juta saham bernilai RM78.63 juta daripada 267.35 juta saham bernilai RM64.37 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 210.29 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (521.89 juta), pembinaan (116.96 juta), teknologi (210.33 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.55 juta) 99.88 juta), perladangan (19.93 juta), REIT (14.75 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (538.82 juta), penjagaan kesihatan (30.77 juta), telekomunikasi dan media (30.04 juta) , dan utiliti (13.63 juta). – MalaysiaGazette