Pas
Dr Riduan Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya adalah tuduhan melampau dan tidak berasas.

Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan, Dr Riduan Mohd Nor berkata, kenyataan oleh Guan Eng itu memperlihatkan beliau beremosi tatkala kerajaan Kelantan mahu meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan inisiatif sendiri.

Menurutnya, ego Guan Eng tercabar ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek tersebut atas alasan kekangan kewangan namun, mahu diteruskan pula oleh kerajaan Pas di Kelantan.

“Hatinya panas jika kerajaan Pas mampu meneruskan projek tersebut tanpa bantuan kerajaan pusat sedangkan kerajaan PH sendiri tidak tertanggung untuk meneruskannya.

“Daripada fakta mana yang diperolehi oleh Lim Guan Eng ketika membuat tuduhan sedemikian?

“Jika begitu, bagaimana kakitangan awam kerajaan negeri mampu bertahan bertahun-tahun lamanya bekerja dengan kerajaan Kelantan jika kerajaan negeri itu tidak mampu membayar gaji mereka?

“Sudah tentu kerajaan negeri akan dilapor dan segala media memburukkan kerajaan Kelantan siang dan malam manakala Kerajaan Kelantan akan didakwa oleh kakitangan terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari hari ini.

Dr Riduan mendakwa, kebencian dan dendam Guan Eng terhadap Pas memang boleh diagak sejak lama dahulu.

Tambah beliau, kedegilan dan keangkuhan pemimpin sepertinya membuatkan siapa sahaja rakan Pakatan sukar berkolaborasi dengan partinya.

“Maka atas sebab itu, Pas terpaksa menarik diri daripada terus diperlekeh dan dihina oleh beliau dan DAP ketika di dalam PR (Pakatan Rakyat) dahulu.

“Atas sebab itu jugalah mana-mana parti yang bersekutu dengan DAP terpaksa menahan sabar kerana dominasi DAP yang mahu membolot semuanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Riduan berkata, mungkin Guan Eng merasa Pas tanpa Pakatan Harapan tidak akan ke mana-mana.

Tambahnya, telahan Guan Eng dan pemimpin lain sepertinya bahawa Pas akan kehilangan segala-galanya dalam PRU14 tidak kesampaian apabila Pas mampu menang bergaya di Kelantan dan Terengganu.

“Bayangkan, hanya sebuah parti mampu memenangi dua buah negeri, sesuatu yang beliau dan rakan parti komponennya tidak mampu lakukan.

“Mungkin sebab itu beliau geram dan dendam berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette