Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Hampir semua pemimpin DAP membuktikan mereka masih berfikir dalam kerangka kaum.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong pada Isnin lalu, menyatakan DAP bukan parti berdasar kaum, tetapi ia tidak sebagaimana diucapkan.

“Sempena ulang tahun DAP ke-53 18 Mac lalu, Chin Tong ada mengeluarkan kenyataan yang mendakwa DAP bukan parti berdasarkan kaum.

“Bagaimanapun, pada masa sama dia mengakui ada “beberapa pihak dalam DAP yang masih berfikir dalam kerangka kaum dan berharap parti itu menjadi juara untuk orang bukan Melayu.

“Chin Tong juga menyeru pemimpin DAP supaya menjadi penyelesai masalah di kampung, bandar, negeri dan negara, tetapi sebenarnya dalam konteks perpaduan nasional, mereka adalah punca dan pencetus masalah,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Mahdzir, antara keutamaan besar pemimpin DAP selepas PRU 14 ialah untuk memperjuangkan isu pendidikan Cina seperti mendapatkan pengiktirafan Unified Examination Certificate (Sijil Peperiksaan Bersama) atau UEC.

Begitu juga, katanya, dengan usaha memperbanyakkan sekolah aliran Cina seperti pengumuman Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, bahawa kementerian itu akan mengkaji cadangan untuk membina 26 lagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Ujar beliau, turut menjadi tumpuan besar pemimpin DAP selepas PRU 14 juga untuk melonjakkan kedudukan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan institut pengajian tinggi swasta Cina dengan memberikan mereka dana yang banyak.

“Tidak cukup dengan Nie Ching selaku Timbalan Menteri Pendidikan mengagih dana ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga turut melakukan perkara sama menggunakan dana Menteri Kewangan.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran negara, Menteri Kewangan sebelum ini fokus kepada usaha memberikan dana kepada SMPC dan institut pengajian tinggi swasta Cina.

“Tetapi itulah yang berlaku bila Guan Eng memberikan dana RM2 juta setiap satu kepada Kolej Universiti New Era di Selangor, Kolej Universiti Selatan di Johor dan Kolej Universiti Han Chiang di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, yang terbaharu, di Stadium Merdeka semalam, Guan Eng turut menggunakan dana Menteri Kewangan untuk diberikan kepada SJK (C) Chong Hwa di Setapak, SMJK Chong Hwa di Gombak dan SMPC Chong Hwa di Jalan Ipoh.

Maka tegas beliau, jelaslah berdasarkan kepada perlakuan terbaru Guan Eng ini, DAP adalah parti berdasarkan kaum dan pemimpinnya masih berfikir dalam kerangka kaum. – MalaysiaGazette