Thursday, April 25, 2024
Home Sukan Elizabeth Tan jadi duta BAM

Elizabeth Tan jadi duta BAM

Foto Laman Rasmi Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM

KUALA LUMPUR 22 Mac – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik artis Elizabeth Tan selaku duta untuk mempromosi skuad badminton negara yang menampilkan muka baharu dan muda.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pemilihan penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Knock knock’ dan ‘Setia’ itu mengambil kira populariti Elizabeth di media sosial dan peminat dalam kalangan remaja.

“Kita merasakan bahawa kehadiran Elizabeth Tan akan memberi lebih impak terutama untuk menarik minat generasi muda. Kita tahu bahawa Elizabeth mempunyai pengikut yang ramai hampir dua juta.

“Kita berharap kolaborasi ini akan mampu menjana situasi menang-menang. Kita juga mengalu-alukan personaliti lain di luar yang mampu memberi khidmat dalam usaha merealisasikan usaha untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman kerjasama itu di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara hari ini.

Mohamad Norza berkata, kerjasama dengan Elizabeth juga bertepatan dengan matlamat BAM yang mahu memperkenalkan barisan muka baharu yang akan mewakili Malaysia.

Katanya, masyarakat lebih mengenali sukan badminton menerusi individu seperti Datuk Lee Chong Wei dan pada tahun ini BAM mahu fenomena itu berubah dan peminat mula mengenali skuad badminton negara yang berwajah baharu.

Dengan penghijrahan keluar pemain-pemain senior, hari ini kami mempunyai pemain yang rata-ratanya lingkungan usia 23 tahun.

“Mereka yang muda ini adalah muka-muka baharu dalam dunia badminton. Bagaimana kami mahu memperkenalkan mereka kerana contohnya bila menganjurkan Terbuka Malaysia, orang ramai berminat untuk datang ke stadium kerana Chong Wei.

“Sekarang kami mahu seluruh rakyat Malaysia memastikan mereka datang ke stadium dan beri sokongan penuh kerana mereka (pemain) adalah aset dan masa depan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette