Punithan Paramsiven

KUALA LUMPUR – Penurunan sebanyak 45 tangga oleh Malaysia kepada tempat ke-80 dalam Indeks Kebahagian Dunia tidak boleh boleh dipandang ringan oleh kerajaan.

Laporan itu menunjukkan bahawa rakyat telah memberikan isyarat jelas bahawa perhatian harus diberikan kepada kesejahteraan dan keperluan mereka.

Ahli Jawatankuasa Pusat MIC, Punithan Paramsiven berkata, rakyat sudah mula merasakan diri mereka tertipu dengan segala janji manis yang akhirnya menjejaskan kehidupan seharian mereka dengan kenaikan kos sara hidup.

Senario politik yang tidak menentu, keadaan ekonomi yang lemah dan nilai mata wang yang mencatat penyusutan juga sememangnya memberikan kesan kepada kepercayaan rakyat terhadap kemampuan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

“Laporan ini memberikan gambaran jelas bahawa kerajaan gagal mengurus serta merealisasikan aspirasi rakyat.

“Ini sekali gus memberi tamparan kepada kerajaan yang berjanji akan memulihkan kesejahteraan rakyat serta menjanjikan bulan dan bintang menerusi manifesto mereka yang jelas gagal ditunaikan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Lantaran itu, katanya, kerajaan tidak boleh lagi memandang remeh laporan ini kerana kesejahteraan dan kebahagian rakyat memberikan kesan langsung kepada produktiviti dan cabaran mengharungi kehidupan seharian mereka.

“Kerajaan perlu melihat kesusahan, kebimbangan serta tekanan hidup seharian melalui kaca mata rakyat secara komprehensif dan bukannya secara makro,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Malaysia telah menduduki tempat ke-35 dalam Indeks Kebahagiaan Dunia pada tahun lalu.

Indeks Kebahagian Dunia menjadi dimensi pengukur asas untuk memahami persepsi rakyat sesebuah negara kepada kehidupan harian.

Laporan ini adalah penting untuk melihat tahap kepuasan rakyat dalam mengharungi kehidupan seharian.

Indeks Kebahagiaan Dunia diukur dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kesejahteraan, pendapatan, kebebasan, kepercayaan, kesihatan, sokongan sosial, tahap rasuah dan kemurahan hati.

Punithan juga mendakwa Malaysia telah mencatatkan prestasi paling teruk tahun ini sejak laporan itu mula diterbitkan mulai tahun 2012.

Sekiranya diimbas kembali indeks berkenaan dan kedudukan Malaysia, tahun 2015 berada di tempat ke-61, 2016 (47), 2017 (42) dan 2018 (35).

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan perlu sedar bahawa manifesto populis hanya boleh memberikan kemenangan sementara sebaliknya dasar mengutamakan kesejahteraan rakyat yang sebenarnya akan memberikan impak positif serta kepercayaan berpanjangan di kalangan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Pakatan Harapan memberikan lebih perhatian kepada keperluan, kehendak, kesejahteraan dan aspirasi rakyat.

“Jangan buang masa dengan terus berpolitik siang malam yang tiada kesudahannya. Semoga kedudukan Indeks Kebahagian Dunia tahun 2020 dapat diperbaiki,” ujarnya. – MalaysiaGazette