Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disyorkan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Tan Sri Razali Ismail daripada menerajui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana Pengerusi Suhakam itu telah mengeluarkan kenyataan menyesali sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang  tidak mempunyai kesungguhan politik dan komitmen untuk meratifikasi ICERD.

Katanya, dalam kenyataan itu Razali juga dilaporkan berkata, pihaknya nekad untuk memperjuangkan ratifikasi ICERD kepada kerajaan Malaysia.

“Kenyataan ini melanggar Akta Suhakam dan bercanggah dengan kewajipannya sebagai anggota suruhanjaya sebagaimana termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila Perdana Menteri dan Kabinet PH memutuskan ratifikasi ICERD tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, maka mana-mana Pesuruhjaya Suhakam, apatah lagi yang bergelar Pengerusi, tidak boleh lagi memperjuangkannya,” katanya dalam status akaun Facebooknya hari ini.

Tegas Dr. Asyraf, memperjuangkan ratifikasi ICERD setelah kerajaan memutuskan tidak akan melakukannya juga satu perlanggaran tugas serius yang menyebabkan Razali perlu segera dipecat.

Kata beliau, Suhakam ditubuhkan atas inisiatif Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri keempat di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang telah diwartakan pada 9 September 1999.

Seksyen 10 (d) (iii) Akta Suhakam memperuntukan, seseorang anggota Suruhanjaya boleh dipecat jika Yang di-Pertuan Agong, atas syor Perdana Menteri berpendapat seseorang anggota suruhanjaya itu telah bertindak melanggar akta ini dan bercanggah dengan kewajipannya.

Begitu juga Seksyen 4 (1) (c) Akta SUHAKAM memperuntukan fungsi Suruhanjaya untuk mengesyorkan kepada kerajaan berkenaan penandatanganan atau penyertaan dalam triti dan surat cara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia.

Akta Suhakam juga, tegasnya, memperuntukkan, “hak asasi manusia” merujuk kepada kebebasan asasi sebagaimana termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948.

Ujar beliau, dalam isu ratifikasi ICERD, Dr. Mahathir telah menegaskan pada 18 November lalu, adalah mustahil untuk melaksanakannya kerana ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan penggubalan semula.

“Penegasan Dr. Mahathir ini dipersetujui Kabinet 23 November lalu melalui kenyataan “Kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD” dan “Kerajaan akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial yang dipersetujui wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini”,” katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, Razali semalam mengeluarkan kenyataan menyesali sikap kerajaan tidak ada kesungguhan politik dan komitmen untuk meratifikasi ICERD.

“Oleh itu, Dr Mahathir perlu segera membuat pengesyoran kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Razali selaku Pesuruhjaya merangkap Pengerusi Suhakam selaras peruntukan Seksyen 10 (d) (iii) Akta Suhakam,” tegasnya. – MalaysiaGazette