KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika mana pelabur menanti penerbitan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi Februari oleh Jabatan Perangkaan lewat hari.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.0600/0650 berbanding dolar AS.

Peniaga berkata, berikutan CPI terdahulu menunjukkan negara menghadapi deflasi, data yang akan dikeluarkan adalah penting bagi menentukan sama ada keadaan itu akan bersifat sementara atau berpanjangan.

“Dengan ekonomi global yang perlahan, pelabur menjadi lebih berhati-hati sebelum melabur,” katanya kepada BERNAMA.

Menurut CPI Januari, ekonomi Malaysia beralih kepada deflasi buat kali pertama sejak krisis kewangan global pada 2009 apabila harga bahan api jatuh.

Bagaimanapun, peniaga itu berkata deflasi 2009 disebabkan harga minyak jatuh di bawah AS$50 satu tong.

Dalam senario semasa, harga minyak agak stabil dalam lingkungan antara AS$67 hingga AS$70 satu tong.

Setakat 9 pagi, minyak mentah Brent berada pada AS$67.66 satu tong.

Sementara itu, ringgit didagangkan kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia menokok berbanding yen Jepun kepada 3.6659/6708 daripada 3.6745 / 6801 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6154/6215 daripada 4.6304/6374 pada Khamis.

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0087/0129 daripada 3.0125/0167 dan menokok berbanding pound British kepada 5.3267/3353 daripada 5.3470/3552. –  MalaysiaGazette