Telekom Malaysia Bhd (TM) muncul kaunter ketiga paling rugi di Bursa Malaysia pagi ini berikutan laporan media bahawa harga perkhidmatan jalur lebar Malaysia dijangka susut sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun ini.
Foto hiasan
KUALA LUMPUR – Harga saham Telekom Malaysia Bhd (TM) susut 1.86 peratus semasa sesi dagangan pagi ditutup di Bursa Malaysia susulan berita mengenai saman difailkan oleh Liga Bolasepak Malaysia LLP (MFL) berhubung pelanggaran kontrak penajaan.

Pada rehat tengah hari, saham TM turun enam sen kepada RM3.16, dengan 1.47 juta saham bertukar tangan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, TM berkata, pihaknya menerima writ saman dan kenyataan tuntutan daripada MFL memohon relif bagi penamatan perjanjian penajaan bagi tempoh lapan tahun bernilai RM480 juta yang ditandatangani pada Februari 2018.

“Tuntutan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan terhadap operasi Kumpulan TM. Kesan terhadap kewangan, sekiranya ada, tidak dapat ditentukan pada ketika ini kerana ia akan bergantung kepada keputusan prosiding undang-undang berhubung tuntutan itu.

“Kami telah mengarahkan peguam kami untuk mengambil langkah perlu untuk mempertahankan syarikat daripada tuntutan itu,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan MFL menuntut RM428 juta daripada TM, bersamaan dengan nilai baki kontrak penajaan.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Public Investment Bank Bhd berkata berkata ia mengekalkan penarafan “neutral” ke atas TM, dengan harga sasaran RM3.60, berikutan firma penyelidikan itu menjangkakan keuntungan terasnya berisiko menurun jika syarikat itu gagal mempertahankan dirinya daripada tuntutan itu.

“Kami percaya ini akan memberi kesan terhadap prestasi harga saham TM dalam tempoh terdekat berikutan prosiding undang-undang itu akan menjadi isu berlarutan dan penyelesaian kemungkinan besar tidak dapat dicapai dalam waktu terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette