Anggota bomba memeriksa kereta rasmi Dr Maza yang dibakar. foto Facebook Dr Maza

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) membuat kesimpulan kereta rasminya yang dibakar awal pagi semalam adalah perbuatan pengganas yang boleh mengancam nyawa.

Katanya, rumusan itu dibuat hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang beliau lihat semalam.

“Setelah saya melihat CCTV, maka saya menyimpulkan ini merupakan perbuatan PENGGANAS atau TERRORIST yang boleh mengancam nyawa.

“Marilah kita berdoa agar dua individu yang disebutkan oleh Ketua Polis Perlis yang dirakam oleh CCTV itu segera ditangkap,” katanya menerusi hantaran terbaharu di laman Facebook pagi ini.

Dr. Maza juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia yang bertungkus lumus menjalankan siasatan sejak semalam.

“Pasukan forensik BOMBA dari Perlis dan Putrajaya baru sahaja meninggalkan kawasan rumah setelah masuk waktu Subuh. Semalaman mereka bertungkus lumus,” katanya.

Menurut beliau, kejadian itu langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.

“Sekalipun jika selepas ini saya akan menaiki Kancil kerana kereta dibakar, tapi in sha Allah, semoga Allah bantu, semangat saya tetap Singa. Allahu Akbar!!!

“Allah Maha Berkuasa. PadaNYA kembali segala urusan,” katanya lagi.

Kereta rasmi Dr Maza semalam musnah disyaki dibakar oleh pihak tertentu di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan, Perlis.

Kejadian disedari jam 5.45 pagi itu merosakkan bahagian enjin kereta Honda Accord berwarna hitam yang terbakar sepenuhnya.

Turut terbakar tayar hadapan sebelah kiri kenderaan itu manakala cermin belakang dan depan juga pecah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: