Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga Mohd Tarmizi pada Himpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.foto NOOREEZA HASHIM, 23 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Memulakan ucapannya dengan ‘Assalamualaikum’, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage menyuarakan penghargaan atas simpati dan sokongan daripada rakyat Malaysia ekoran serangan pengganas ke atas dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, pada Jumaat, 15 Mac lepas.

Berucap pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka hari ini, Nottage yang turut menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Melayu, menyampaikan ucapan takziah daripada rakyat New Zealand susulan tragedi itu yang antara lain mengorbankan remaja rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

“New Zealand berasa sangat sedih. Dengan rasa dukacita yang amat mendalam, saya menyampaikan ucapan takziah, belas kasihan dan simpati daripada Perdana Menteri New Zealand dan semua rakyat New Zealand… terima kasih kerana berada di sini pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian.

“Malang sekali mangsanya termasuk rakyat Malaysia… ingatan kami sentiasa bersama anda, keluarga anda yang sebahagian daripadanya berada di sini, dan komuniti anda,” katanya.

Nottage menarik perhatian bahawa banyak perhimpunan umum yang diselubungi kesedihan dan tangisan, dianjurkan di New Zealand, termasuk perhimpunan serta solat di seluruh negara semalam, suatu cerminan kepada kebersamaan serta saling menghormati.

“Kita berkabung bersama-sama, kita berdiri teguh atas nama perpaduan dan New Zealand amat berterima kasih kepada Malaysia. Cubit paha kanan, paha kiri pun terasa sakit. Kami mohon maaf,” katanya.

Semalam, warga New Zealand mengadakan perhimpunan di seluruh negara sebagai menandakan genap seminggu sejak insiden penembakan ke atas dua buah masjid di Christchurch yang mengorbankan 50 jemaah dan mencederakan lebih 40 yang lain.

Perdana Menteri Jacinda Ardern menyertai beribu-ribu orang ramai yang berkabung dengan berhimpun di sebuah taman di hadapan masjid Al Noor dan dalam ucapan ringkasnya beliau berkata: “New Zealand berkabung bersama anda. Kita adalah sama,” disusuli dengan tafakur selama dua minit.

Pada 15 Mac, New Zealand mengalami serangan pengganas yang melepaskan tembakan bertalu-talu di masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, semasa solat Jumaat.

Sementara itu, di pentas yang sama, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski menyifatkan serangan yang dilakukan oleh seorang rakyat Australia itu sebagai amat mengaibkan negara berkenaan.

“Memang benar keganasan tidak mempunyai agama, ia tidak mempunyai kewarganegaraan, tetapi hakikatnya dalam kes ini, pengganas itu seorang warga Australia.

“Perkara ini amat memalukan kami, tetapi jika dia bertindak sedemikian dengan tujuan untuk memisahkan kita, dia sebenarnya telah gagal sama sekali dan perhimpunan ini membuktikannya,” katanya.

Senada dengan Nottage, Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci berkata, “Kita berada di pihak yang menyokong kedamaian, bersama-sama seluruh umat Islam dan penduduk dunia yang percaya bahawa kedamaian pasti menang.” – Bernama

Tinggalkan Jawapan