Ka Siong (tengah, kanan) bersama Mohamad selepas perjumpaan dengan pimpinan tertinggi parti
Ka Siong (tengah, kanan) bersama Mohamad selepas perjumpaan dengan pimpinan tertinggi parti

KUALA LUMPUR – Dua jawatankuasa telah ditubuhkan MCA di peringkat bahagian dan negeri untuk mengempur pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 13 April ini.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong, parti itu komited untuk memastikan calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dapat mengekalkan kerusi itu.

Katanya, hari ini beliau dan kepimpinan tertinggi MCA mengadakan perjumpmaan dengan Pemangku Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN, Mohamad bersama jentera parti di Negeri Sembilan.

“Menjelang PRK DUN Rantau tidak lama lagi adalah penting kerusi ini dipertahankan bagi memastikan elemen semak dan imbang kerajaan pemerintah dapat dijalankan,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya hari ini.

Mengenai dua jawatankuasa itu, Ka Siong menjelaskan, Jawatankuasa Bahagian akan memberikan fokus pada jentera Negeri Sembilan, manakala Jawatankuasa Negeri pula di DUN Rantau.

Ujar beliau, MCA akan bersama menggembleng tenaga dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan kekal milik BN. – MalaysiaGazette