JAKARTA – Polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai juruterbang syarikat penerbangan nasional, Garuda International, di Terminal 3 lapangan terbang tersebut semalam.

Lelaki itu yang dikenalpasti sebagai Alvin Adithya Darmawan memakai uniform juruterbang ketika beliau melakukan daftar masuk di kaunter pada pukul 11.40 pagi semalam, kata Ketua Polis lapangan terbang itu, Victor Togi Tambunan.

Selain mengenakan uniform juruterbang, Alvin juga dilaporkan membawa kad pengenalan krew Garuda.

Alvin dilihat berkeliaran di terminal itu sebelum menuju ke tempat pemeriksaan keselamatan apabila juruterbang Garuda bernama Andre menyedari kelakuan aneh Alvin.

“Berikutan itu, kapten (Andre) bercakap dengan lelaki itu tetapi jawapannya tidak jelas,” kata Victor seperti dilapor kompas.com.

Andre kemudian membuat laporan kepada kakitangan keselamatan penerbangan berhampiran tempat pemeriksaan itu.

Ketua unit siasatan jenayah di lapangan tersebut, James Hasudungan Hutajulu berkata, Alvin adalah seorang penumpang pesawat Garuda ke Semarang di tengah Jawa.

Alvin dilaporkan memberitahu polis bahawa beliau terlalu taksub menjadi seorang juruterbang.

“Selepas menamatkan sekolah menengah dia memohon memasuki sekolah juruterbang tetapi dia gagal,” kata James yang dipetaik tribunes.com. – Agensi