Dr Zainur Rashid Zainuddin melancarkan Gagasan Kanvas Mahasiswa 2030 (KM30) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsan Pembina kali ke-12 di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Golongan mahasiswa Muslim di negara ini perlu memainkan peranan masing-masing untuk mewarisi kepimpinan dalam masyarakat.

Langkah itu penting agar posisi kepimpinan negara terus dikuasai oleh orang Islam.

Naib Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, lebih daripada 62 peratus posisi penting negara kita kini dipegang oleh bukan Islam.

“Kalau dahulu politik dikuasai oleh orang Melayu, tetapi kini, kebanyakan Ahli Parlimen daripada kerajaan sedia ada, 54 peratus adalah dalam kalangan mereka bukan beragama Islam.

“Perpindahan posisi penting, antaranya menteri kewangan dan menteri media. Jika kita lihat trio kedudukan penting yang menentukan undang-undang dan Perlembagaan dalam negara kita, menteri undang-undang adalah Kristian, peguam negara adalah Kristian, ketua hakim negara juga Kristian.

“Bagaimanakah perkara itu terjadi kepada negara Islam seperti Malaysia yang termaktub agama Islam sebagai agama Persekutuannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-12 Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) di sini, hari ini.

Zainur Rashid berkata, Malaysia sebuah negara yang sudah merdeka 62 tahun telah mencapai pelbagai kejayaan di peringkat nasional, nusantara dan dunia antarabangsa.

“Dunia menyaksikan kehebatan Malaysia dalam bidang pendidikan, penyelidikan, ekonomi, pembangunan dan infrastruktur. Meski, kita pergi ke mana-mana negara Arab atau Asia Tenggara lain akan tabik kepada Malaysia kerana menjadi contoh kepada negara lain.

“Bagaimanapun kita sedar bahawa masyarakat di negara kini berdepan dengan isu-isu rasuah, tol, isu tadbir urus, dan kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa mahasiswa Islam supaya mengisi kelompongan dalam mewarisi kepimpinan dalam masyarakat tidak kira sama ada sebagai ahli politik mahupun barisan kepimpinan negara pada masa akan datang.

Malah, pewarisan kepimpinan juga perlu menjurus ke dalam aspek ekonomi agar masyarakat Islam tudak dilihat lemah dalam hal itu.

Dengan memberikan contoh, Zainur Rashid berkata, baru-baru ini dikeluarkan senarai 10 orang terkaya di Malaysia, jumlah itu menunjukkan seorang India, manakala, sembilan yang lain adalah Cina.

“Jadi, dimanakah ketidakadilan dan ketidaksamarataan yang diperkatakan itu sedangkan ekonomi dikuasai oleh mereka?,” soalnya. – MalaysiaGazette