Anthony Loke
Anthony Loke

SEREMBAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau disifatkan sebagai ibu kepada semua PRK kerana bakal berdepan dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, jika keputusan PRK kali ini berpihak kepada Pakatan Harapan (PH), ia akan beri implikasi besar kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana berjaya menewaskan pemimpin utama mereka.

“PRK ini akan tarik perhatian dari semua negara dan saya berani cakap ini akan jadi PRK paling penting dan signifikan berbanding PRK lain sebelum ini.

“Hasil keputusan PRK ini akan beri kesan besar bukan saja terhadap politik di Negeri Sembilan tetapi politik negara kerana calon BN adalah pemangku Presiden UMNO dan Pengerusi BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Bilik Gerakan DAP PRK DUN Rantau di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, jika kerusi itu berjaya bertukar tangan, ia sekaligus akan membantu PH memperkuatkan kedudukan termasuk membuktikan formula kerjasama Pas dan UMNO tidak berjaya.

“Kalau kita dapat serang kubu kuat Tok Mat, ia bermakna kita dapat perkuatkan PH selangkah lagi. Kita tahu pihak lawan akan ketengahkan pelbagai isu rakyat dan kita bersedia beri penjelasan,” katanya.

Berbeza dengan PRK Semenyih di mana PH yang perlu berusaha kuat pertahankannya (kerusi), sebaliknya di Rantau mereka perlu menyerang, katanya.

Dalam pada itu, Loke juga berkata, Dr S. Streram adalah pilihan calon terbaik dan DAP Negeri Sembilan akan menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan kemenangan PH.

Selain itu katanya, PH akan terus memperjuangkan politik berasaskan kepelbagaian kaum berbeza dengan UMNO yang kini semakin jauh.

“UMNO hari ini lebih cenderung menjalin kerjasama dengan Pas meskipun masih bersama MCA dan MIC dalam BN,” katanya. – MalaysiaGazette.