B Sathianathan

KUALA LUMPUR – Jurulatih Selangor, B Sathianathan mengekalkan kerusinya sebagai Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi penggal 2019-2022.

Sathianathan menang tanpa bertanding apabila satu lagi calon, Reduan Abdullah membuat keputusan menarik diri daripada bertanding merebut jawatan terbabit pada Kongres Pemilihan PJBM yang berlangsung di Kelana Jaya, hari ini.

Hanya jawatan Timbalan Presiden yang dipertandingkan pada kongres kali ini yang menyaksikan saingan antara Datuk Ong Kim Swee, Zainal Abidin Hassan dan Raja Isa Raja Akram Shah.

Namun, tiada perubahan besar dapat disaksikan dalam barisan kepemimpinan apabila Kim Swee dan Zainal berjaya mengekalkan jawatan Timbalan Presiden apabila masing masing mendapat 120 dan 118 undi.

Bagi kerusi Naib Presiden, tiga penyandang sedia ada kekal iaitu Datuk Richard Scully, Md Dali Wahid, Aminuddin Hussin dan satu lagi kerusi diisi muka baharu, Dr Zulakbal Abdul Karim yang sebelum ini menjadi Exco PJBM.

Jawatan Exco menyaksikan lapan nama dipilih iaitu Haris Lajid, S Balachandran, Chiew Choon Yong, Rezal Zambree Yahya, Mohamad Ishak Kunju Mohamad, Ridzuan Abu Shah, Badrulsham Ahmad dan Razif Ismail.

Sementara dua kerusi Exco wanita diisi Farhana Abdullah dan Siti Suhaila Mohd Johari. – MalaysiaGazette