Sebahagian daripada 5,000 peserta Himpunan Solidariti Keamanan berkumpul di hadapan pusat beli belah Sogo, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diajak menolak politik kebencian, kemarahan dan ketakutan yang menjadi punca kepada perpecahan kaum.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, tragedi berdarah yang berlaku di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat minggu lalu kerana pengganas itu mempunyai kefahaman politik kebencian.

“Kalau berlaku keganasan, umat Islam yang selalu menjadi mangsa politik ini.

“Ini dapat dilihat kejadian yang mengorbankan seramai 50 umat Islam, termasuk seorang warganegara Malaysia di New Zealand baru-baru ini adalah sebahagian daripada fahaman itu,” katanya.

Beliau antara pemimpin politik yang mengambil bahagian berucap pada himpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad menyeru umat Islam dan kaum lain di negara ini agar sentiasa menanamkan dalam diri mereka sebuah hati yang bersih.

Ini kerana, katanya, manusia yang berhati bersih dan berakhlak mulia akan menjadi insan yang baik dan mulia.

Wakil keluarga Mohd Tarmizi yang cedera parah dalam kejadian itu, ketika berucap, melahirkan rasa terharu dengan sokongan rakyat Malaysia.

Beliau yang kehilangan Allahyarham Mohd Haziq, 17, mengakui menerima ujian yang berat dengan berita kecederaan adiknya, Mohd Tarmizi dan kematian anak saudaranya tetap menerima dengan redha.

“Adik saya (Mohd Tarmizi) cedera parah, anak saudara saya (Mohd Haziq) pergi selama-lamanya. Betapa beratnya ujian yang kami terima.

“Namun, sebagai umat Islam, kami sekeluarga menerimanya sebagai ketentuan Allah,” katanya dalam nasa sedih. – MalaysiaGazette