Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) kelihatan melintasi kubah mahkamah semasa tinjauan Lensa Malaysia Gazette sekitar Istana Kehakiman, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Entiti tempatan yang berminat untuk mengambil alih Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) mungkin ada tetapi yang syarikat yang berjaya dan berskala besar hanya AirAsia sahaja.

Lantaran itu, daripada jatuh ke tangan asing, lebih baik syarikat penerbangan kebangsaan ditawarkan semula kepada AirAsia.

Lagipun, AirAsia merupakan calon terbaik yang Malaysia ada berdasarkan prestasi dan kejayaan pengasasnya, Tan Sri Tony Fernandes dalam mengendalikan syarikat penerbangan tambang rendah.

Seorang pemain industri yang pernah terlibat dalam pertukaran saham antara Malaysia Airlines System Berhad dan AirAsia pada tahun 2012 berkata, sekurang-kurangnya Tony tahu permasalahan dalam yang dialami oleh syarikat berkenaan.

Beliau yang enggan namanya didedahkan berkata, sekarang bukan masanya untuk mempertahankan Malaysia Airlines semata-mata atas nama patriotisme tetapi yang lebih utama survival Malaysia Airlines kepada sektor pelancongan negara dan kakitangannya.

“Tidak dinafikan Malaysia Airlines dekat di hati seluruh rakyat Malaysia. Semua sayangkan syarikat penerbangan ini. Tetapi masalah kewangan yang dihadapinya cukup kronik sehingga mengambil masa untuk dipulihkan dan masih tidak menampakkan hasilnya.

“Daripada kita terus membelanjakan wang kepada pemulihan Malaysia Airlines, bukankah lebih baik syarikat itu dibeli atau dikuasai sebahagian kepentingannya kepada syarikat tempatan yang berpengalaman,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pada Ogos 2011, Kerangka Kerja Usaha Sama Komprehensif (CCF) diwujudkan bagi membolehkan MAS, AirAsia dan AirAsia X meneroka peluang bekerjasama dalam pelbagai bidang, bagi memanfaatkan kecekapan teras masing-masing dan mengoptimumkan kecekapan.

Sebagai sebahagian daripada CCF itu, Khazanah dan Tune Air menjalin perjanjian pertukaran saham bagi menjajarkan kepentingan pemegang saham utama MAS dan AirAsia, yang sekaligus akan mengukuhkan potensi kerjasama berkenaan.

Namun ia dibatalkan selepas lapan bulan penilaian dilakukan disebabkan tentangan daripada pihak-pihak berkepentingan.

Beliau mengakui kesal apabila pertukaran saham Malaysia Airlines-AirAsia itu terbatal, tidak menolak kemungkinan syarikat penerbangan tersebut sudah ‘terbang tinggi’ sekiranya perjanjian dahulu tidak terbatal disebabkan tekanan politik pada ketika itu.

Lebih terkesan apabila 6,000 kakitangan Malaysia Airlines terpaksa ‘berkorban’ untuk menyelamatkan syarikat itu.

“Tidak cukupkah kita melihat situasi itu (pembuangan pekerja) sedang mereka semuanya mangsa keadaan. Adil tak?,” soalnya lagi.

Sebenarnya, banyak kaedah yang boleh dilakukan jika Malaysia Airlines mahu dikekalkan sebagai pemilikan negara melalui ‘golden share’ oleh kerajaan.

Tetapi daripada aspek operasi dan pengurusan, Malaysia Airlines perlu dibebaskan daripada ‘tangan-tangan ghaib’ kerana ia jelas merosakkan sistem dalam syarikat berkenaan.

Inilah yang membezakan AirAsia dan Malaysia Airlines – yang mana pengurusan AirAsia tidak terikat dengan mana-mana pihak.

‘Itulah antara rahsia kejayaan AirAsia.

“Selain AirAsia berkemampuan mengekalkan kos operasi yang rendah daripada setiap aspek termasuk dalam pemerolehannya, sesuatu yang tidak berlaku di Malaysia Airlines,” ujarnya yang percaya syarikat penerbangan negara itu dapat diselamatkan jika kebebasan mutlak diberikan.

Tambah beliau, kalaulah AirAsia yang memiliki Malaysia Airlines, janganlah sesekali ada sentimen buruk sangka sebaliknya ia perlu dilihat sebagai perniagaan yang saling melengkapi.

“Ia seperti Singapore Airlines yang memiliki SilkAir dan Scoot untuk saling melengkapi demi industri dan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette