Joseph Kurup

KOTA KINABALU – Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang diketuai bekas menteri persekutuan, Joseph Kurup, belum memutuskan jika ia mahu bekerjasama dengan PPBM pimpinan Dr Mahathir Mohamad, demi manfaat rakyat.

Kurup yang dilaporkan FMT berkata, partinya mengambil pendekatan tunggu dan lihat buat masa ini.

“Lagipun, tak salah untuk bekerjasama dengan mereka. Kami boleh berkhidmat lebih baik kepada rakyat. PPBM berada dalam kerajaan bermakna mereka boleh menawarkan banyak perkara kepada rakyat,” katanya selepas sambutan ulang tahun ke-25 parti itu di sini, malam tadi.

Beliau mengakui, PBRS pernah membincangkan kerjasama itu secara dalaman, tetapi keputusan muktamad belum dibuat kerana bimbang mengenai kesannya.

Ada banyak isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat, termasuk kenaikan harga barang keperluan, kejatuhan harga komoditi, kenyataan tidak bijak menteri, kesediaan kerajaan mengiktiraf golongan bukan Orang Asal sebagai anak Sabah dan mengiktiraf pendatang asing tanpa izin.

“Jika kita sertai (kerajaan), maka kita perlu menyokong semua perkara ini yang rakyat tidak puas hati. Ketika ini, keadaan politik masih tidak stabil. Perkara terbaik yang kita boleh buat ialah tunggu dan lihat. Kita perlu tahu bagaimana semua masalah ini ditangani.”

PBRS hanya mempunyai sebuah kerusi Parlimen di Pensiangan yang dimenangi anak Kurup, Arthur. Bekas naib presidennya, Ellron Angin yang merupakan Adun Sook, meninggalkan parti itu Disember lalu untuk menyertai Solidariti Tanah Airku yang diketuai Jeffrey Kitingan.

Kurup yang sebelum ini membawa parti itu meninggalkan Barisan Nasional, susulan kekalahan mengejut gabungan itu dalam pilihan raya umum Mei 2018, dilaporkan berkata beliau mahu bekerjasama dengan parti pemerintah Sabah, Warisan.

Beliau kemudiannya berusaha supaya Pakatan Harapan menerima PBRS, tetapi akhirnya ia kembali kepada BN. Tindakan itu menyebabkan Kurup dilabel sebagai oportunis, tetapi ia dinafikannya.

“Saya tidak tahu kenapa orang label saya sedemikian. Apa yang parti mahu lakukan ialah berkhidmat kepada rakyat. Rakyat mahu melihat kami bersama mereka.

“Kami tidak meminta jawatan, tetapi ia terpulang kepada mereka yang berkuasa. Jika mereka fikir kami buat dengan baik, maka terpulang kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette