JOHOR BAHRU – Taktik seorang lelaki yang ingin mendapatkan wang daripada anggota keluarga dengan cara merancang penculikannya sendiri terbongkar apabila polis berjaya menahan 12 suspek lain yang turut terlibat.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata lelaki itu merupakan warga Singapura berusia 30-an dan dikatakan dilarikan oleh sekumpulan lelaki di kawasan Setia Indah pada 8 Mac lepas.

“Suspek meminta wang tebusan sebanyak RM500,000 daripada anggota keluarga dan pihak keluarganya telah membayarnya tetapi isteri mangsa yang merupakan warga Indonesia berusia 33 tahun tidak terus membuat laporan polis.

Pada 21 Mac, suspek sekali lagi meminta sebanyak RM170,000 dan ia turut dibayar namun mangsa tetap tidak dibebaskan. Pada ketika itu, barulah isterinya membuat laporan polis,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, susulan laporan itu, polis telah menyerbu sebuah premis di Stulang pada hari sama dan berjaya menyelamatkan mangsa serta menahan lima lelaki dan seorang wanita.

Beberapa siri tangkapan susulan turut dilakukan di dua lokasi berbeza dan berjaya menahan empat lagi lelaki di Bandar Penawar dan dua lagi lelaki di Kluang.

“Kesemua suspek yang merupakan warga tempatan itu berumur antara 20 hingga 49 tahun,” katanya.

Mohd Khalil berkata hasil siasatan lanjut ke atas semua suspek kemudian mendedahkan bahawa perancangan untuk melarikan mangsa dan memeras wang dari keluarga mangsa adalah perancangan mangsa dan isterinya sendiri bagi mendapatkan wang daripada anggota keluarga mereka.

“Susulan itu, lelaki berkenaan telah ditahan dan isterinya pula masih lagi dijejaki dengan bantuan polis Indonesia,” katanya.

Sementara itu, berhubung kes lain, Mohd Khalil berkata pelbagai dadah kira-kira 46 kilogram yang bernilai RM2.4 juta berjaya dirampas berikutan penahanan 12 individu di Larkin dan kawasan pembangunan Wilayah Iskandar, di sini, pada Rabu lepas.

Mohd Khalil berkata dua daripada mereka ditahan menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis BMW 528i di Larkin pada 8.30 pagi manakala 10 lagi diberkas menerusi beberapa serbuan di kawasan pembangunan Wilayah Iskandar, beberapa jam selepas itu.

Katanya, daripada pemeriksaan kereta itu, polis merampas sepucuk pistol jenama Glock, 26 butir peluru jenama Luger 9mm, dua kelopak peluru, wang tunai RM18,700, mata wang Indonesia bernilai 8 juta rupiah bersamaan RM2,272.68 dan kenderaan yang digunakan suspek.

“Hasil serbuan pula berjaya merampas masing-masing satu paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu dan ganja seberat 5.82 gram dan 1.59 gram; 46 ketulan mampat disyaki dadah jenis syabu seberat 46kg; 25 kotak rokok putih jenama Double Happiness; sebuah kereta Toyota Vios; sebuah kereta Nissan Sentra dan sebuah kereta Perodua Myvi.

“Turut dirampas sepucuk pistol Revolver 38 bersama 123 butir peluru, 35 butir peluru 9mm, satu kelongsong peluru dan 112 biji pil kuda,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, kesemua suspek berumur antara 20 hingga 46 tahun kini direman selama seminggu bermula 21 Mac.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960, Seksyen 39B, Seksyen 39(A)(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette