Suasana pada Himpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.foto NOOREEZA HASHIM, 23 MAC 2019.

JITRA – Orang ramai sepatutnya melihat mesej yang cuba disampaikan pada Himpunan Solidariti Kedamaian yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam dan bukannya menilai pada jumlah atau ‘nombor’ peserta yang hadir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata walaupun ramai yang menganggap himpunan tersebut tidak mendapat sambutan, namun beliau tetap berpuas hati dengan kehadiran peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Ramai tak ramai itu benda subjektif yang boleh didebatkan… Walaupun tidak ramai yang turun, jumlah orang yang menonton secara siaran langsung di laman sosial media kita tengok capai ratus ribu.

“Kalau daripada aspek penyampaian (mesej) sampai atau tidak, kita tidak boleh terus nilai sebab himpunan itu baru sahaja dibuat semalam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Rahmah Masjid di Masjid Al-Fateh dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai jumlah kehadiran peserta yang dikatakan sangat kecil pada Himpunan Solidariti Kedamaian yang berlangsung di Dataran Merdeka semalam, yang menjadi tular di laman sosial.

Perhimpunan anjuran Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation (CSO) itu diadakan susulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia, Muhamad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Dr Mujahid berkata tujuan utama himpunan itu adalah sebagai menolak dan mengecam tindakan yang berunsur kebencian, usaha yang boleh melahirkan sikap keganasan atas nama agama dan kaum serta menyokong usaha untuk hidup aman damai.

“Kita bersama warga dunia nyatakan sokongan solidariti kepada kedamaian serta ingin mempertahankan negara dan kedaulatan melalui Perlembagaan Persekutuan agar anasir-anasir pelampau agama yang perlu ditekankan dan bukan orang mai ke tak mai,” katanya.

Terdahulu, Dr Mujahid bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr Ismail Salleh menghadiri Program Rahmah Masjid yang dihadiri lebih 200 kariah masjid.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada para penduduk dalam kariah masjid berkenaan.

— BERNAMA