Datuk Mazlan Mansor

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memberi jaminan bahawa siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diselesaikan dalam tempoh 60 hari akan datang.

Keadaan itu juga bermakna harta Datuk Seri Najib Tun Razak yang disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) mungkin dipulangkan selepas mencapai “tempoh matang” selama setahun.

China Press melaporkan, PDRM masih mempunyai dua bulan untuk selesaikan siasatan atau perlu memohon supaya penyitaan harta berkenaan dilanjutkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor berkata, tempoh siasatan adalah tidak dihadkan walaupun terdapat had masa dalam menyita harta berkenaan.

Beliau berkata, polis buat masa ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada soal siasatan, dan hanya akan melihat kepada isu penyitaan apabila sampai masanya nanti.

Katanya, siasatan kes itu dijalankan melalui dua aspek iaitu jenayah komersial dan pembasuhan wang haram.

“Jenayah komersial bermaksud ada pihak yang melakukan pemindahan wang haram, manakala pembasuhan adalah mengenai usaha “pemutihan” ke atas wang yang diperoleh secara haram,” katanya.

Menurutnya, ramai pihak tidak faham kenapa pihak polis mengambil masa yang lama untuk menyiasat kes 1MDB.

“Hakikatnya, ini merupakan kes paling rumit dalam sejarah yang membabitkan pelbagai elemen dalam dan luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette