Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Bakal calon yang berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantai digesa membuat semakan awal pengisian borang pencalonan di Pejabat Pegawai Pengurus di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

Ia juga boleh dilakukan di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan sebelum Hari Penamaan Calon.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, semakan awal itu bagi memastikan semua bakal calon mengisi borang dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan.

Dengan itu, ia dapat mengelakkan berlakunya kesilapan mengisi borang.

Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon pada Hari Penamaan Calon berjalan lancar dan mengikut masa yang ditetapkan.

Cara ini juga dapat memberi peluang kepada parti yang didapati tidak layak ketika semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya sebelum hari penamaan calon.

Azhar menambah, kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadang kepada Pegawai Pengurus pada hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon pada Sabtu ini.

Selain itu, bakal calon juga turut digesa untuk membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.

Bakal calon juga diminta mengambil pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki Pusat Penamaan Calon.

Ini untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon,katanya.

Hari penamaan calon ditetapkan pada hari Sabtu ini dan PRK DUN Rantau pada 13 April. – MalaysiaGazette