Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018
Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Penipuan dokumen pinjaman pelajar oleh Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) adalah antara lima kes yang direkodkan antara tahun 2016 hingga 2018.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengesan terdapat IPTS yang menipu dokumen pinjaman pelajarnya dengan memendekkan tempoh pengajian.

Jelas beliau, IPTS tersebut telah melakukan penipuan dokumen dengan memendekkan tempoh pengajian daripada enam semester kepada lima semester sahaja.

“IPTS itu membuat tuntutan daripada PTPTN untuk pengajian bagi tempoh enam semester namun tempoh pengajian yang ditawarkan hanya lima semester.

“Dalam kes ini, kementerian menggantung bayaran kepada pelajar baharu dan IPTS itu diminta membayar semula semua bayaran PTPTN yang diberikan kepada IPTS berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH Amanah-Tampin) sama ada terdapat kajian menyeluruh kementerian terhadap kolej swasta yang melanggar peraturan.

Mengulas lanjut, Nie Ching memberitahu, semua IPTS yang beroperasi di negara ini tertakluk di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Akta 555) termasuk kawalan daripada berlakunya penyelewengan atau penyalahgunaan wang.

“Setiap aduan mengenai penyelewengan IPTS terhadap PTPTN akan disiasat dan diambil tindakan secara bersama antara Jabatan Pendidikan Tinggi dan PTPTN. Sekiranya berlaku penyelewengan, Akta 555 akan diguna pakai termasuk menangguhkan kemudahan pinjaman PTPTN.

“Namun, usaha awal oleh kementerian ialah dengan melaksanakan pemantauan bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara termasuk aktiviti pendaftaran pelajar,” katanya.

Katanya, jika terdapat IPTS yang melanggar syarat kelulusan kursus pengajian seperti mengenakan yuran melebihi kadar diluluskan, tindakan mengikut Seksyen 40(2) Akta 555 termasuk membatalkan kelulusan pengajian berkenaan boleh diambil. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.