Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat keputusan untuk memberi pampasan kepada mangsa-mangsa pencemaran toksik Sungai Kim Kim yang berlaku di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, buat masa sekarang, fokus perlu diutamakan dengan memberi perkhidmatan kesihatan kepada mangsa.

“Berhubung kejadian di Sungai Kim Kim, setakat ini apa yang kerajaan ambil tanggungjawab adalah memberikan mangsa rawatan kesihatan yang diperlukan sebaik mungkin dan untuk pampasan belum diputuskan.

“Selain itu, kerajaan juga menumpukan kepada usaha pencegahan supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawa soalan tambahan daripada Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanyakan tentang perkara tersebut.

Mohd. Shahar bertanya sama ada terdapat pampasan akan diberikan kepada mangsa pencemaran Sungai Kim Kim dan adakah nilainya sama dengan wang ehsan mangsa banjir sebanyak RM500 atau sebaliknya. – MalaysiaGazette