Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sesi Dialog di Majlis Perhimpunan Perdana CUEPACS bersama YAB Perdana Menteri di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 25 MAC 2019

SERDANG – Kerajaan Persekutuan akan mengkaji keperluan untuk menghapuskan monopoli pasaran oleh pemain-pemain industri dalam pelbagai sektor sebagai langkah untuk mengekang kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang keterlaluan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, kerajaan perlu berhati-hati sebelum cadangan itu dilaksanakan untuk mengelakkan kekurangan bekalan dalam pasaran

“Kita ingin hentikan monopoli, tetapi untuk kita ganti monopoli ini, kita tak boleh hadkan jumlah pengimport terlalu banyak, tetapi orang yang cekap dan mempunyai kewangan cukup, mereka boleh tender bekal beras.

“Dalam bidang-bidang lain, kita akan hapuskan monopoli tetapi kita perlu berhati-hati kerana kadang-kala persaingan hebat berlaku antara mereka yang mendapat kontrak, maka ini akan membawa kepada bekalan tidak mencukupi.

“Kita akan awasi perkara ini dan kita harap apabila kita hapuskan monopoli rakyat akan beritahu kepada kita tentang harga yang dikenakan supaya dapat kita kawal harga barang yang keterlaluan,” katanya dalam sesi dialog sempena Perhimpunan Perdana Cuepacs di Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tiga kiri) menerima cenderamata tanda kenangan sambil daripada Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda (empat kiri) bergambar kenangan pada Majlis Perhimpunan Perdana CUEPACS bersama YAB Perdana Menteri di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 25 MAC 2019

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Dr Mahathir juga tidak menolak kemungkinan sebelum wujudnya monopoli pasaran, wujudnya persaingan tidak sihat dalam kalangan pemain-pemain industri.

“Pihak kerajaan kena mengawasi mereka yang dapat monopoli, umpamanya import beras, satu pihak monopoli tetapi sebelum kita bagi monopoli, terdapat persaingan tidak sihat antara mereka yang mengimport beras.

“Walaupun harga turun ramai juga yang masih menghadapi kos sara hidup yang tinggi, inilah masalahnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette