Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Selepas lima minggu menjadi penjual bersih, dana asing kembali ke bursa dengan membeli sebanyak RM86.3 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu.

Ia merupakan aliran masuk bersih asing mingguan kedua terendah yang direkodkan tahun ini.

MIDF Reseach berkata, pelabur asing membeli sebanyak RM81.5 juta pada hari Isnin, aliran masuk paling tinggi dalam sehari sejak 18 Februari lalu.

Aliran masuk dana-dana asing mendorong kenaikan FBMKLCI sebanyak 0.6 peratus kepada 1,691 mata – paras penutup tertinggi dalam tempoh 10 hari dagangan.

Dana-dana antarabangsa terus memasuki pasaran Malaysia pada hari Selasa dan memiliki RM20.6 juta ekuiti, kebetulan dengan kenaikan harga Brent sebanyak AS$67 setong.

Namun aliran masuk itu tidak berterusan apabila dana-dana global berhati-hati menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan – mendorong aliran keluar bersih asing sebanyak RM26.6 juta.

Malaysia berjaya menarik pelaburan masuk sebanyak RM14.6 juta pada hari Khamis selepas Rizab Persekutuan memberitahu ia akan menangguhkan kenaikan kadar faedah tahun ini, kata firma penyelidikan itu.

Hari Jumaat menyaksikan jualan bersih sebanyak RM3.9 juta berikutan Indeks Harga Pengguna bagi bulan Februari 2019 meneruskan deflasi 0.4 peratus.

Aliran masuk asing minggu lalu telah mengurangkan aliran keluar asing setakat ini pada bulan Mac kepada RM1.40 bilion.

MIDF Reseacrh berkata, aliran keluar besih asing Malaysia setakat ini ialah sebanyak RM1.9b atau AS$292.7 juta,
tidak lagi menjadi yang tertinggi dalam kalangan empat ASEAN.

Sebaliknya Thailand mengambil tempat itu dengan merekodkan aliran keluar bersih asing tahun semasa sebanyak AS$349 juta atau melebihi RM1.40 bilion. – MalaysiaGazette