Suasana kecoh apabila beberapa pelajar Universiti Malaya (UM) menimbulkan provokasi semasa Program Sembang Santai bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Restoran Amjal, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung dakwaan provokasi melibatkan kumpulan penyokong Najib Tun Razak dan pelajar Universiti Malaya di sebuah restoran akan diserahkan kepada Peguam Negara esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kertas siasatan yang lengkap mengenai kes itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara Tommy Thomas untuk tindakan lanjut.

“Kita akan mengemukakan kertas siasatan kepada AG (Peguam Negara) esok.

“Keterangan daripada 26 individu telah diambil polis, kita akan ambil tindakan selepas arahan Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya ringkas dalam sidang media di Pusat latihan Polis hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sambutan Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-212 di Padang Kawat yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pagi tadi.

Majlis turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador merangkap Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.

Pada 22 Mac lalu sekumpulan pelajar UM telah mengadakan protes mengangkat poster serta sepanduk bersifat provokasi kepada Najib ketika program Sembang Santai Bersama Bossku di Restoran Amjal di luar universiti itu.

Tindakan itu menyebabkan penganjur program menghalau pelajar-pelajar berkenaan manakala Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam merampas dan mengoyakkan poster karikatur Najib sebagai badut.

Ia mengakibatkan berlaku pergelutan antara pelajar dan jawatankuasa program Najib sehingga pelajar didakwa dicekik dan ditampar dalam kejadian Jumaat lalu selepas solat Jumaat.- MalaysiaGazette