Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR –  Mahasiswa Universiti Malaya (UM) tidak pernah dipaksa untuk menghadiri majlis makan malam yang didakwa dikenakan caj RM120 secara automatik, tanpa kebenaran pelajar.

Pengerusi Sekretariat Presiden Kolej Universiti Malaya (SPKUM) Ainin Azman berkata, pelajar sebenarnya mempunyai pilihan untuk tidak menghadiri majlis makan malam tersebut dengan menulis surat ketidakhadiran mereka kepada pentadbiran kolej masing-masing sebelum majlis berlangsung.

“Kemudian caj RM120 yang dikenakan kepada pelajar akan dikembalikan semula. Dakwaan kononnya pelajar dipaksa untuk membayar yuran RM120 adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Angkatan Mahasiswa UM Muhammad Ahnaf Mohd Yunus pada Khamis lepas yang meminta pentadbiran kolej kediaman UM memulangkan semula yuran makan malam itu yang didakwa dicaj secara automatik bersama yuran pengajian dan penginapan kolej pada minggu ketiga semester pertama iaitu Febuari lepas, tanpa kebenaran pelajar.

Muhammad Ahnaf juga mendakwa pelajar tidak diberi pilihan dan dipaksa menyertai majlis makan malam atau dikenali sebagai Malam Anugerah yang diadakan di hotel bertaraf lima bintang di ibu negara.

Menurut Ainin, majlis makan malam yang saban tahun dianjurkan itu merupakan satu majlis berprestij yang mengumpulkan semua penghuni kolej di samping meraikan usaha mahasiswa yang telah berbakti pada peringkat kolej, universiti, mahupun antarabangsa.

Justeru, beliau meminta mahasiswa yang mempunyai sebarang masalah berkaitan isu tersebut menghubungi presiden kolej kediaman masing-masing bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Pihaknya juga akan membawa isu yuran makan malam tersebut ke Parlimen Mahasiswa UM bagi mencari penyelesaian jangka panjang. – MalaysiaGazette